PUTRAJAYA: Pelakon dan pelawak Saiful Apek meluahkan harapan untuk melihat filem pertama arahannya Shhh... Dia Datang dapat ditayangkan setelah lapan tahun tertangguh. Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff, 47, berkata, biarpun pelbagai masalah dalaman timbul selama proses menyiapkan filem tersebut, dia tetap berharap agar segalanya menemui jalan penyelesaian. "Filem ini memulakan penggambaran sejak tahun 2008 dan sehingga kini saya masih berharap agar karya arahan sulung saya itu akan ditayangkan di pawagam. "Filem yang sepatutnya menjadi sebuah karya yang melengkapkan profil seni saya ini sudah bertukar menjadi sebuah filem tribute kerana lima daripada pelakonnya sudah meninggal dunia iaitu Ahmad Busu, Zami Ismail, Din Beramboi, Bob Kuman dan Syukri Hashim,” katanya kepada mStar Online. Salah satu contoh poster yang dihasilkan untuk mempromosikan Shhh... Dia Datang. Turut berlakon dalam filem itu ialah Aaron Aziz. Dalam filem itu Saiful turut mengetengahkan latar set sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu untuk satu babak sebagai mengiktiraf rancangan tersebut yang pernah melekat di hati penonton suatu ketika dahulu. Sementara itu, Saiful yang kini menjadi juri tetap untuk program komedi Lawak Solo (Astro) mengakui sudah tiba waktunya dia berkongsi ilmu dan pengetahuannya untuk generasi pelawak yang kian bercambah. "Ada yang andaikan saya seorang yang demand dan jual mahal kerana tidak menyertai mana-mana pertandingan lawak sebelum ini, namun saya punyai alasan sendiri. "Dah 22 tahun saya berada dalam industri seni, saya rasa ini adalah waktu untuk saya berkongsi ilmu dan pengalaman, bukannya untuk mencari populariti, merebut ganjaran hadiah atau membuktikan saya masih hebat di pentas komedi," katanya. Pun begitu, kata Saiful dia begitu kagum dengan potensi para peserta program Lawak Solo yang diketengahkan oleh pihak Astro kerana mereka dilihat cukup struggle di pentas persembahan biarpun secara individu. "Tidak mudah sebenarnya untuk menjadi seorang stand up comedian dan apa yang saya lihat menerusi program Lawak Solo, mereka agak bijak dan cemerlang menggarap lawak dengan cetusan idea-idea spontan dan itu yang kita nak,” katanya. Bagaimanapun kata Saiful, dia mengharapkan agar artis-artis komedi hari ini akan terus memberi satu bahan lawak yang bukan sekadar menghiburkan tetapi sentiasa sarat dengan mesej-mesej positif untuk masyarakat.