SHAH ALAM: Penyanyi Elizabeth Tan memberitahu dia memilih penyanyi dan komposer Awi Rafael menggantikan rakan duetnya untuk lagu Setia berikutan berasa selesa bekerjasama dengan penyanyi berkenaan. Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, 23, mengakui Awi merupakan rakan artis paling rapat dengannya buat masa ini. "Saya yang pilih Awi untuk rakan duet kerana Faizal memang tidak akan memasuki pertandingan Anugerah Juara Lagu lagi. "Saya tidak ramai kawan artis lelaki, Awi juga guru vokal saya dan kami berada dibawah label yang sama iaitu Warner Music," ujarnya kepada mStar Online. Dia ditemui selepas Semi Final Muzik-Muzik 31 yang diadakan di Plaza Alam Sentral, Jumaat malam. Lagu nyanyiannya berjudul Setia ciptaan Faizal Tahir layak ke Anugerah Juara Lagu 31 yang bakal diadakan pada 22 Januari depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Elizabeth berkata, dia tidak menjangkakan dapat beraksi sekali lagi di pentas AJL31 selepas lagu Knock-Knock tahun lalu. Selain itu, katanya, dia juga sudah bersedia untuk dikritik seperti yang dilalui sebelum ini. "Terkejut dan bersyukur dapat beraksi sekali lagi, namun kali ini saya tidak begitu gementar tahun lalu kerana nyanyi bersama Awi Rafael. "Jika ditanya tentang kritikan, saya sudah bersedia kerana setiap hari pun saya dikritik," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang perancangan pada persembahan AJL31, Elizabeth berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada Awi dan Faizal Tahir. "Awi ada beri pendapat untuk jadikan lagu itu kepada versi rock tapi akan berbincang dengan Faizal terlebih dahulu," ujarnya.