suria

Arab (Arab Dan Aidit) Meninggal Dunia Kerana Serangan Jantung

Allahyarham Arab meninggal dunia pagi Sabtu.

PETALING JAYA: Penyanyi Arab yang popular dengan kumpulan duo Arab dan Aidit meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Colombia, Seremban akibat serangan jantung.

Anak saudaranya, Syed Azman memberitahu Allahyarham Arab atau nama sebenarnya Syed Azlan Syed Abu Bakar, 50, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Allahyarham diserang penyakit jantung ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur daripada Johor. Dia yang ketika itu bersama  seorang rakan dibawa ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Colombia, dia sudah menghembuskan nafas terakhir," ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, berita tersebut turut mengejutkan ahli keluarga yang lain berikutan Allahyarham tidak pernah mengalami dan memberitahu tentang penyakit itu.

Jenazah Allahyarham dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dibedah siasat.

"Kami terkejut menerima berita itu kerana sebelum ini dia hanya sakit-sakit biasa sahaja. Dia juga tidak pernah buat pemeriksaan doktor tentang kesihatannya," ujarnya.

Katanya, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Labis, Johor untuk urusan pengebumian.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Marina Abdul Manap dan tiga orang anak.

Kumpulan Arab & Aidit pernah popular sekitar tahun 2005 dengan lagu Bila Bulan Berwarna Biru. 

Arab Dan Aidit

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan