suria

Seniman Cari Peluang Pekerjaan Untuk Ahli Persatuan

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan badan korporat dan syarikat persendirian dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan artis. Foto RAYMOND OOI
PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan badan korporat dan syarikat persendirian dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan artis.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, menerusi cara itu pihaknya dapat mencadangkan nama ahli persatuan untuk mengadakan persembahan pentas atau pun sebagai pengacara yang sekaligus memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

"Seniman melihat kerjasama dengan pihak luar apabila mereka mengadakan sesuatu acara besar melibatkan masyarakat dapat memberi peluang mewujudkan pekerjaan kepada artis.

"Menerusi majlis diadakan kita boleh membantu dengan mencadangkan nama artis untuk mengadakan persembahan mahupun bertindak sebagai pengacara.

"Sedikit sebanyak ia membantu golongan artis menambah pendapatan mereka dan mengembangkan lagi pengaruh menerusi kemunculan dihadapan khalayak," katanya kepada mStar Online.

Terbaharu, Seniman bakal bekerjasama dengan Budi Group bersempena dengan Hari Bersama Pelanggan yang bakal diadakan pada 19 dan 20 November ini.

Seniman bekerjasama dengan Budi Group bersempena dengan Hari Bersama Pelanggan yang bakal diadakan pada 19 dan 20 November ini.

Bakal berlangsung di Budi Extreme Park, Teluk Panglima Garang, Selangor, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran selebriti seperti Beego, Nico-G, Joey BPR, Keena (Mentor), Aliff (AF), Zack (Kool) dan ramai lagi.

Acara itu terbuka kepada orang ramai bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Dalam pada itu, Zed berkata, walaupun Seniman aktif dalam mencari peluang untuk ahli-ahlinya namun itu tidak bererti ia menjadi tanggungjawab penuh persatuan dalam mencari pekerjaan untuk artis.

Sebaliknya kata Zed, Seniman hanya menjalankan peranan dalam membuka jalan kepada ahli persatuan selain ia satu kebajikan sekiranya ada artis yang tiada pekerjaan.

"Seniman bukan syarikat pengurusan bakat tetapi sebagai persatuan yang ingin menjaga kebajikan ahli-ahli kami bantu apa yang termampu menerusi kerjasama sebegini.

"Bayaran yang ditawarkan kepada mereka pun bukan harga 'kawan-kawan' tetapi sama rata sesuai dengan kerja yang perlu dilakukan," ujarnya.
Seniman, Zed Zaidi

Artikel Sebelum

Artikel Lain