PETALING JAYA: Selepas timbul isu beberapa artis menolak lagu pilihan media pada separuh akhir Gegar Vaganza 3 (GV3) Ahad ini, penyanyi Siti Sarah Raisuddin tampil menjelaskan tindakannya berbuat demikian kerana keadaan kesihatan terganggu. Sarah atau Siti Sarah Raisuddin, 32, berkata, dia bimbang tidak dapat menyampaikan lagu And I Am Telling You I'm Not Going nyanyian asal Jennifer Holiday dengan baik yang memerlukan kekuatan vokal dan stamina tinggi ekoran masalah kesihatan dialaminya. "And I Am Telling You I'm Not Going memerlukan stamina yang tinggi kerana lagu berkenaan sangat 'besar' dan memerlukan kekuatan vokal yang mantap. "Saya tidak berani mengambil risiko itu kerana kondisi kesihatan saya yang demam dan batuk buat masa ini. Bukannya kerana saya bersikap besar kepala dan tidak menghormati pilihan lagi dibuat pihak media. Sarah bakal menyampaikan lagu nyanyian Misha Omar dan Jaclyn Victor pada peringkat separuh akhir Gegar Vaganza. "Saya perlu realistik kerana jika saya teruskan juga ia akan memberi kesan buruk pada persembahan saya nanti," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Sebagai ganti, Sarah akan menyanyikan lagu pilihannya iaitu Bunga-Bunga Cinta nyanyian asal Misha Omar selain Dibawah Pohon Asmara (Jaclyn Victor). Dua lagi peserta yang menukar lagu pada peringkat separuh akhir itu adalah Nora Ariffin yang memilih lagu sendiri iaitu Sandiwara dan Zarul Husin (Umbrella). Namun Zarul Husin memberi alasan yang boleh diterima apabila senarai lagu diberikan kepadanya pernah dinyanyikan dia sebelum ini. Terdahulu, beberapa wartawan yang terlibat dalam sesi pemilihan lagu pertandingan itu terkejut apabila terapat beberapa artis membuat keputusan menukar lagu diberikan kepada mereka. Dalam pada itu, Sarah berkata, dia sedar harapan rakan media terhadapnya tinggi dan menghormati pemilihan dibuat namun dia harus realistik memandangkan kesihatannya tidak mengizinkan. Raqim Ahmad. "Para wartawan memilih lagu itu kerana yakin dan percaya saya boleh lakukannya dan saya hormati pilihan dibuat untuk saya. "Jika saya berada dalam keadaan sihat memang saya akan menyanyikan lagu diberikan itu," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pendirian pihaknya jelas berhubung isu berkenaan di mana peserta perlu mempersembahkan lagu tugasan diberikan. Kata Raqim, peserta yang memilih untuk tidak berbuat demikian adalah wajar memberi penjelasan mengenai pilihan mereka itu. "Astro selaku penerbit rancangan telah memberikan tugasan kepada para peserta berdasarkan lagu-lagu yang dipilih pihak media (kerana minggu ini merupakan Minggu Pilihan Media). "Namun begitu, seperti ramai sedia maklum, oleh kerana faktor-faktor tertentu, ada di antara peserta yang memilih untuk mempersembahkan lagu pilihan masing-masing. "Pendirian kami adalah jelas. Peserta perlu mempersembahkan lagu tugasan yang diberikan. Jika mereka memilih untuk tidak berbuat demikian, wajar kiranya penjelasan dibuat dari pihak mereka sendiri," katanya.