AMPANG: Rakyat Selangor dijemput untuk menonton teater Putera La Galigo yang akan menceritakan secara mendalam susur galur sejarah kesultanan Melayu negeri ini. Penerbit eksekutif teater itu Megat Mohd Noor Salleh Ghani berkata, produksinya Keno Production dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor ketika ini giat membuat persiapan sesi latihan sejak tiga bulan lalu bagi memperkasakan lagi jalan cerita dan penghayatan watak pementasan tersebut. "Memandangkan ini merupakan projek teater terbesar di Selangor, banyak perkara harus diteliti agar hasilnya memberi impak kepada penonton khususnya dalam menarik generasi muda yang kurang berminat dengan teater genre sejarah. Tasha Shilla dan Amar Asyraf pada sesi latihan Putera La Galigo. "Saya menyeru orang ramai khususnya rakyat Selangor untuk datang menonton Putera La Galigo untuk mengetahui sejarah kedatangan Raja Lumu ke Kuala Selangor sebelum diangkat menjadi sultan Selangor pertama dengan nama Sultan Salehuddin,” katanya kepada mStar Online. Megat atau lebih mesra dengan sapaan Keno Salleh di temui pada sesi latihan teater berkenaan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini Rabu lalu. Tambah Keno, teater itu turut menyelitkan kisah mengenai penentangan diterima Raja Lumu oleh empat rakyat tempatan bergelar Datuk Empat Suku kerana tidak mengiktiraf baginda menjadi raja. Keno Salleh. "Melalui teater ini, sejarah kesultanan Selangor diceritakan bermula daripada kesultanan Bugis yang bertapak di negeri ini sejak 250 tahun lepas iaitu dari 1766,” katanya. Dalam pada itu, pengarah teater berkenaan Dr Rosdeen Suboh berkata pengisian teater itu diambil dan digarap daripada sumber-sumber diyakini iaitu menerusi koleksi simpanan muzium, gambar-gambar dan manuskrip lama. “Apa yang lebih menarik nanti, beberapa lagu selingan turut di ketengahkan sebagai hiburan selain sebuah kapal besar sebagai prop akan letakkan di atas pentas. "Selain itu beberapa kesan khas yang digunakan bagi menghidupkan pementasan itu nanti pastinya membuat penonton lebih teruja menghayati perjalanan teater ini,” katanya. Putera La Galigo menampilkan barisan pelakon popular antaranya Amar Asyraf sebagai Raja Lumu, Tasha Shilla (Puteri Perak), Raja Azura (Mak Teja), Wan Raja (Mayong) Ainul Aishah (Awan). Ia akan dipentaskan di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 Disember pukul 8.30 malam. Bagi tarikh 17 dan 18 Disember pula, teater ini akan dipentaskan pukul 3.30 petang dan 8.30 malam. Tiket dijual pada harga RM35 dan RM200 yang boleh didapati menerusi di www.airasiaredtix.com atau menghubungi talian 03-87754666 dan 03-41019332 untuk pertanyaan lanjut.