suria

Muzik Video 'Demi Cinta' Pengajaran Bahaya Dadah - Ezad Lazim

Ezad lazim kelihatan sedikit kurus selepas mengalami maslah kesihatan sebelum ini. Foto: ROHAIZAT MD DARUS
KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezad Lazim memberitahu hasratnya untuk berlakon dalam video muzik berjudul Demi Cinta tidak kesampaian selepas dia berhadapan dengan masalah kesihatannya Ogos lalu.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 37, berkata, watak dalam muzik video itu mengisahkan penagih dadah yang kesal dan ingin kembali ke pangkal jalan antara kisah yang pernah dilaluinya suatu masa dahulu.

"Kalau boleh memang saya ingin berlakon dalam muzik video itu kerana jalan ceritanya seperti kehidupan saya yang lampau.

"Ia tentang bagaimana seorang penagih dadah mempunyai keinginan tinggi untuk berhenti dan terpaksa berhadapan dengan cabaran dan dugaan.

"Malangnya, saya pula jatuh sakit dan tidak mampu meneruskan penggambaran," ujarnya kepada mStar Online.

Ezad ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video terbaharunya berjudul Demi Cinta di Red Box, The Garden, di sini, Rabu.

Muzik video berkenaan dimuat naik di YouTube sejak September lalu yang kini mencecah tiga juta kali tontonan.


Ezad Lazim bersama isterinya, Zeana Ramli semasa pelancaran muzik video 'Demi Cinta' pada Rabu. FOTO: Rohaizat Darus.
Tambah Ezad, dia berharap video muzik itu yang dilakonkan orang lain menjadi pengajaran kepada penonton terutamanya anak-anak muda yang terjerumus dalam najis dadah.

"Saya tidak mahu ingat apa yang saya lakukan dulu memang merosakan diri. Saya menyesal kerana dadah juga kerjaya saya terumbang-ambing.

"Memang susah nak berubah, kadang-kadang kita berjanji untuk berubah tapi ia sukar dan keadaan memaksa kita kembali kepada benda itu.

"Alhamdulillah, saya memang sudah serik dan tidak mahu lagi terjerumus. Saya bersyukur diberi peluang kedua," ujarnya.

Lagu ciptaannya bersama komposer Mohd Yassin dan penulis lirik Iman Imran itu turut ditonton hampir 12 juta kali di YouTube untuk versi lirik lagu.

Sementara itu, bercerita tentang penyakit usus ataut  Reflux Disease (GERD) yang dialaminya, Ezad berkata, dia perlu lebih berhati-hati dalam menjaga pemakanan.

"Kesihatan saya semakin beransur pulih, tidak teruk macam dahulu yang kerap muntah. Tapi saya perlu jaga pemakanan, tidak boleh makan pedas, tidak boleh lapar dan tidak boleh terlalu banyak makan.

"Secara jujurnya saya akui masalah kesihatan sedikit menjejaskan kerjaya nyanyian terutama ketika mempromosi lagu Demi Cinta ini. Tapi saya anggap ia sebagai ujian," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kekecewaan peminat-peminatnya apabila lagu tersebut gagal ke Anugerah Juara Lagu yang akan berlangsung 22 Januari depan, Ezad menganggap ia sebagai tiada rezeki.

Katanya, pencapaian ke peringkat separuh akhir itu sahaja sudah memberi kepuasan kepada dirinya.

"Ramai peminat yang hampa dan mempersoalkan kenapa lagu ini tidak layak, namun saya sudah jelaskan ia kerana tiada rezeki.

"Insya-Allah, saya akan terus mencuba lagi tahun hadapan," ujarnya.

Ezad Lazim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain