PETALING JAYA: Penyanyi Azharina Azhar menjadi peserta paling tinggi mendapat undian daripada orang ramai untuk dipilih sebagai juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) yang akan berlangsung pada malam ini (Ahad). Azharina mendapat undian sebanyak 27 peratus diikuti tempat kedua oleh Gmie (Screen) iaitu sebanyak 19 peratus manakala tempat ketiga pula ialah milik Zarul Husin sebanyak 17 peratus. Bagi Siti Sarah dan Ameng (Spring), undian awam setakat ini meletakkan mereka pada peratusan yang sama iaitu masing-masing 15 peratus sementara Intan Sarafina sekadar memperoleh 7 peratus undian sahaja. Undian awam ini diperkenalkan mStar Online sejak Sabtu menerusi sistem Apester bagi melihat trend orang awam dalam memilih siapakah juara rancangan itu. Peratusan ini dikira sehingga pukul 7 pagi Ahad dan tentunya akan sentiasa berubah. Peserta 'Gegar Vaganza 3' yang akan berentap pada malam ini ialah Gmie (dari kiri), Ameng, Zarul Husin, Intan Sarafina, Siti Sarah dan Azharina. Bagaimanapun keputusan pemenang rancangan berkenaan yang memperuntukan hadiah wang tunai RM100,000 bagi juara ditentukan seratus-peratus oleh juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan seorang juri jemputan. Pemilihan awam terhadap Azharina itu disebabkan trend persembahan yang konsisten oleh penyanyi itu dari minggu pertama menyertai rancangan berkenaan. Pada peringkat akhir GV3 malam Ahad, enam peserta akan bertanding membawa dua buah lagu bagi setiap orang. Rancangan ini akan disiarkan secara langsung di Astro Ria dari Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pukul 9 malam. Undian Awam Boleh Klik Pada Link Ini Lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada konsert akhir seperti berikut: 1. Siti Sarah - I Will Always Love You dan Matahariku 2. Zarul Husin - Gerhana dan Dendangan Laguku 3. Azharina - Mama Aku Ingin Pulang dan Izinkanlah 4. Ameng - Bougenvilla dan Romantis (lagu sendiri) 5. Intan Sarafina - Sedetik Lebih dan Kemelut Di Muara Kekasih 6. Gmie - Bila Bulan berwarna Biru dan Salam Terakhir Peratusan mengenai pemilihan awam berhubung kedudukan peserta Gegar Vaganza 3 setakat pukul 7.30 pagi Ahad.