suria

Azharina Tepati Ramalan Juarai 'Gegar Vaganza 3'

Azharina (tengah) diumumkan sebagai juara sementara Siti Sarah (kiri) tempat kedua dan Zarul di tempat ketiga pada konsert akhir Gegar Vaganza 3 malam Ahad. Foto RICKY LAI

SHAH ALAM: Penyanyi Azharina menepati ramalan banyak pihak apabila diumumkan sebagai juara pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini malam Ahad.

Azharina yang menyanyikan lagu 'Izinkanlah', 'Mama Aku Ingin Pulang' dan 'Kesetian' telah menewaskan lima peserta lain yang terdiri daripada Siti Sarah, Ameng, Gmie, Zarul dan Intan Sarafina.

Kemenangan itu melayakkan Azharina menerima hadiah kemenangan yang terdiri daripada wang tunai RM100,000 berserta sebuah trofi serta rakaman single terbitan Astro.

Penyanyi lagu 'Elergi Sepi' ini turut menerima sebidang tanah lot banglo tajaan Budi Group bernilai RM60,000, pakej perctian ke Itali dan rantai mutiara sumbangan Rafflesia bernilai RM30,000.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada yang banyak membantu saya. Kemenangan ini adalah untuk anak saya," ujarnya.

Siti Sarah mendapat tempat kedua.

Sementara itu, Siti Sarah memenangi tempat kedua menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, pakej percutian ke Eropah dan sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000.

Siti Sarah juga memenangi persembahan pilihan penonton dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan rantai mutiara sumbangan Rafflesia bernilai RM25,000.

Penyanyi Zarul pula berada di tangga ketiga dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000, pakej percutian ke Mesir dan rantai mutiara sumbangan Rafflesia bernilai RM20,000.

Ameng yang menduduki tempat keempat membawa pulang RM15,000, pakej percutian ke Turki  dan rantai mutiara sumbangan Rafflesia bernilai RM15,000.

Zarul memberikan persembahan bertenaga pada pertandingan akhir Gegar Vaganza 3.

Intan Sarafina yang mendapat tempat kelima membawa pulang wang tunai RM10,000, pekej percutian ke China dan rantai mutiara bernilai RM10,000.

Manakala Gmie di tempat keenam mendapat wang tunai RM5,000 dan rantai mutiara bernilai RM5,000.

Mereka turut mendapat trofi dari pihak Astro.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad dan Pengasas Vida Beauty Cosmetic, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

Kesemua persembahan peserta  dinilai oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim, manakala juri jemputan Datuk Jamal Abdillah dan Hetty Koes Endang.

Program akhir Gegar Vaganza 3 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan ia turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza.

Azharina, Gegar Vaganza 3

Artikel Lain