SHAH ALAM: Penyanyi Azharina Azhar memberitahu dia mampu menjiwai lagu Mama Aku Ingin Pulang dan Izinkanlah yang dinyanyikan pada malam konsert akhir Gegar Vaganza 3 (GV3), berikutan ia sama seperti jalan hidup dilaluinya. Azharina, 31, berkata, dia mengenang kisah kehidupan sebenar tentang perkahwinan yang pernah dilaluinya penuh dengan dugaan. "Saya mampu menjiwai lagu ini kerana itu adalah jalan hidup saya, saya pernah berkahwin, saya pernah rasa manis dan rasa sangat sakit. "Saya pernah rasa ingin kembali semula tapi saya sedar kami ada kehidupan masing-masing. "Selain itu, wajah anak saya Rahmat sering bermain di fikiran membuatkan saya menjiwai lagu tersebut hingga ianya sampai ke hati penonton," ujarnya kepada mStar Online. Azharina ditemui pada sidang media selepas konsert Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, Ahad. Penyanyi yang popular dengan lagu Elergi Sepi ini menewaskan saingat terdekatnya Siti Sarah Raisuddin. Azharina mendapat perhatian juri ketika menyampaikan persembahan. Dia pernah berkahwin dengam seorang usahawan Datuk Shukri Muhamed pada sekitar tahun 2007 dan perkahwinan tersebut hanya bertahan selama tiga tahun. Azharina kemudian mengambil anak angkat bernama Rahmat Azaharin Aziz Mohamad Faizal yang kini berusia dua tahun. Dalam pada itu, Azharina berkata, pengorbanan terbesar yang dilakukannya sejak memasuki program ini ialah kurang memberi perhatian dan masa terhadap anaknya. "Pergorbanan paling besar ialah masa dengan anak saya, kasihan dia sejak lapan minggu ini kurang mendapat perhatian saya. "Seminggu hanya sekali sahaja dia dapat jumpa saya, tapi dia tahu apa yang saya lakukan ini adalah untuk masa depannya," ujarnya. Sementara itu, Azharina berkata, dia belum ada sebarang perancangan untuk hadiah wang tunai dan sebidang tanah diterimanya sebagai pemenang utama namun memberitahu dia berhasrat untuk mengerjakan umrah. Azharina berhasrat untuk mengerjakan umrah. Dia juga belum memikirkan tentang rancangan lagu yang bakal dirakam bersama Astro. "Sejak masuk pertandingan ini sampai sekarang saya tidak tahu apa sebenarnya hadiah yang saya dapat kerana niat saya hanya untuk menonjolkan bakat. "Nawaitu saya untuk jadi penghibur, hadiah yang saya dapat malam ini saya belum fikirkan lagi termasuk lagu yang akan dirakam," ujarnya. Dalam pada itu, penyanyi ini mengakui, jadual persembahannya kini sudah penuh diisi sehingga Mac tahun hadapan. Katanya, dia juga mendapat tawaran untuk mengadakan konsert solo di Indonesia dan Filipina pada Januari ini. "Alhamdulillah, sejak memasuki Gegar Vaganza ini tawaran untuk persembahan banyak dan setakat ini sudah penuh hingga Mac depan. "Antara yang besar ialah konsert di Indonesia dan Filipina pada awal tahun depan," ujarnya yang berpenampilan lebih RM1 juta pada malam tersebut.