suria

Artis Bekas Kru Kabin Kesal Sikap Fathia Latiff Terhadap Pramugari

Fathia Latiff

PETALING JAYA: Tindakan aktres Nur Fathia Latiff memuat naik gambar seorang pramugari yang enggan mengangkat begnya telah menimbulkan reaksi banyak pihak termasuk beberapa rakan artis yang pernah bekerja sebagai kru kabin penerbangan.

Personaliti TV3 yang pernah memegang jawatan Ketua Pramugari MAS, Maria Tunku Sabri, 46, menganggap tindakan aktres tersebut menyalahkan pramugari yang enggan mengangkat begnya ke dalam kompartmen sebagai perkara yang tidak wajar dilakukan.

Jelas Maria tugasan untuk membantu penumpang mengangkat beg ketika berada dalam pesawat hanya kepada mereka yang kurang berkemampuan sahaja.

"Tugas untuk membantu penumpang untuk angkat beg tiada dalam prosedur skop kerja kru penerbangan.

"Perkara itu dilakukan hanya atas budi bicara mereka sahaja dan saya percaya perkara-perkara itu ada ditulis dalam penerbangan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Maria menambah, sebagai selebriti yang berpelajaran, aktres tersebut seharusnya lebih peka dan pandai untuk membawa diri ketika berada di dalam penerbangan.

Maria Tunku Sabri pernah menjadi Ketua Pramugari berkhidmat pada 1988 sehingga 1996.

"Mereka hanya memberi keutamaan kepada penumpang yang kurang berkemampuan seperti ibu yang ramai anak, orang tua dan orang yang berkerusi roda sahaja, jika sihat seseorang itu perlu melakukannya sendiri," ujarnya.

Dia mengulas isu yang menjadi viral seleaps Fathia memuat naik gambar seorang pramugari MAS yang enggan mengangkat begnya untuk dimasukkan dalam kompartmen dalam sebuah pesawat.

Fathia yang turut memuat naik gambar pramugari itu dengan kapsyen sinis telah menimbulkan kemarahan netizen. Dia juga mendakwa pramugari tersebut meninggikan suara dan membuat muka apabila diminta bantuan.

Bagaimanapun, Fathia sudah memadam foto pramugari berkenaan selepas menerima kecaman netizen yang tidak berpuas hati namun ia berjaya diviralkan oleh netizen.

Berdasarkan kapsyen itu, pramugari berkenaan sudah memaklumkan kepada Fathia dia tidak boleh berbuat demikian kerana mengalami sakit belakang.

Katanya lagi, tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mana-mana artis ketika berada di dalam penerbangan.

Fathia memuat naik foto pramugari sebelum memadamnya semula beberapa jam kemudian.

"Saya bertugas sebagai pramugari selama lapan tahun dan sepanjang itu juga tidak pernah berhadapan dengan masalah melayan karenah artis sebegini.

"Antara artis yang pernah terbang bersama saya ketika itu ialah Ella dan Datuk Aznil Haji Nawawi dan mereka sendiri sudah tahu apa tanggungjawab mereka," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi yang masih bekerja sebagai pramugara, Zarul Husin, 43, berkata, isu tersebut sering menjadi kekeliruan terhadap tugas-tugas yang dilakukan oleh kru kabin.

Katanya, penumpang seharusnya meletakkan beg berat ke dalam tempat kargo agar memudahkan mereka untuk membawa diri dalam penerbangan.

"Jika beg itu berat mereka sepatutnya check in sahaja dan hanya bawa beg yang ringgan supaya mudah untuk mereka membawa diri.

"Saya sendiri jika diminta angkat beg berat itu akan menolak secara baik dan minta tolong untuk mereka angkat sendiri beg berkenaan," ujarnya.

Zarul masih memikirkan keputusan untuk berhenti daripada kerjaya pramugara.

Selain itu, Zarul berkata, kebanyakkan VVIP yang pernah mendapatkan khidmatnya dalam penerbangan sedar tentang perkara tersebut dan menggunakan cara lebih sopan ketika meminta bantuan.

"Ramai sahaja VVIP yang menggunakan khidmat saya, tapi mereka sendiri tahu tentang tugas kami, mereka selalunya minta pembantu untuk menganggat beg-beg yang dibawa.

"Pada saya tiada salahnya jika meminta pertolongan tersebut dengan cara yang lebih baik," ujarnya.

Zarul yang memenangi tempat ketiga pada program realiti Gegar Vaganza 3 memberitahu masih lagi memikirkan keputusan untuk berhenti daripada kerjaya berkenaan.

Katanya, dia masih mempunyai masa beberapa hari lagi untuk membuat keputusan tersebut.

Bagi pelakon dan pengacara Karl Shafek, 36, golongan selebriti seharusnya sedar bahawa tidak semua anak kapal mengenali mereka sebagai artis.

Karl Shafek bekerja sebagai pramugara MAS dari 2004 hingga 2008.

Katanya lagi, tindakan memuat naik foto ke laman sosial dengan niat negatif itu juga tidak seharusnya dilakukan oleh aktres berkenaan.

"Mereka kerja siang malam dan kadang-kadang tidak kenal pun artis-artis Malaysia yang ramai, jadi tidak perlu mengharapkan keistimewaan ketika berada di tempat awam.

"Saya kesal kerana dia muat naik gambar pramugari itu, perkara itu sendiri boleh memalukan pramugari berkenaan," ujarnya.

Karl berharap, selepas ini ramai lagi penumpang yang jelas tentang isu berkenaan dan tidak terus mengharapkan anak kapal untuk melakukan kerja mereka.

"Anak kapal bertugas untuk menjaga keselamatan penumpang dan bukan untuk buat kerja-kerja berat, lagilah pramugari itu mempunyai masalah kesihatan.

"Jika mereka sakit akibat kerja-kerja berat itu siapa lagi yang akan tolong bila berlaku sebarang kecemasan sepanjang penerbangan itu nanti," ujar bekas pramugara MAS ini.

Artikel Lain