PETALING JAYA: Pelakon Wan Raja agak tertekan dengan percanggahan watak diterimanya serentak menerusi dua karya berbeza yang sedang dilakonkannya ketika ini. Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 38, berkata, dua watak yang dimaksudkannya itu ialah sebagai seorang lelaki lembut menerusi drama ‘Andartu Kau Bidadariku’ dan watak seorang pendekar bernama ‘Mayong’ menerusi teater epik ‘Putera La Galigo’ yang sedang menjalani sesi latihan. “Agak 'gila' juga cabaran kali ini kerana saya harus pegang dua watak bercanggah karekternya iaitu sebagai lelaki lembut dan pendekar dalam satu masa membuatkan saya sering keliru dan kerap tersasul sehingga menganggu fokus saya. “Justeru setiap kali bertukar set, saya harus persiapkan mental lebih kuat kerana pernah beberapa kali terjadi ketika membawa watak pahlawan, intonasi suara dan bahasa tubuh saya terbawa-bawa dengan watak lelaki lembut dan perkara ini akan memberi masalah kepada pelakon terlibat,” katanya kepada mStar Online. Sementara itu kata suami kepada pelakon Yaya Maembong ini lagi, dia tidak kisah tentang persepsi peminat kerana sering dilihat terlibat dalam karya yang mengaitkan dirinya dengan golongan homoseksual. Wan Raja ketika menjalani latihan untuk pementasan teater 'Putera La Galigo'. Foto dari Instagram miliknya. “Saya tahu isu ini akan timbul dan apa yang boleh saya katakan saya hanya ambil cabaran yang diberi dan melihat watak sebegitu ada potensi untuk diberi perhatian sekali gus menguji kredibiliti saya sebagai seorang pelakon selepas memegang watak Ghaus menerusi filem sensasi Dot..Dot… Dalam Botol enam tahun lalu. “Malah kalau dilihat watak saya dalam drama rantaian 'Andartu Kau Bidadariku' pula, ia bukanlah satu watak hitam sebaliknya hanya bersifat lembut kerana saya bekerja sebagai pereka fesyen,” katanya. Tambahnya lagi, dia tidak mengambil mudah malah banyak melakukan kajian menerusi pemerhatian, selain bergaul dengan golongan sebegitu yang ada di dalam industri. Drama rantaian 16 episod 'Andartu Kau Bidadariku' arahan Aziz M. Osman ini turut menampilkan Erra Fazira, Norman Hakim dan Hisyam Hamid yang dijangka akan menemui penonton pada awal tahun hadapan di saluran Astro. Sementara itu, Wan Raja mengakui begitu teruja apabila turut diberi peluang menjayakan teater epik Putera La Galigo memegang watak sebagai Mayong yang akan di pentaskan di Stadium Melawati Shah Alam selama tiga hari berturut-turut bermula 16 Disember depan. Turut terlibat dalam teater yang disifatkan sebagai teater terbesar pernah dianjurkan di negeri Selangor ini ialah Amar Asyraf, Tasha Shila, Raja Azura dan Ainul Aishah. Tiket dijual pada harga RM35 dan RM200 boleh didapati di www.airasiaredtix.com