suria

Danial (Lawak Solo) Mahu Serius Sebagai Pelawak Pengajuk

Danial ingin serius sebagai pelawak pengajuk kerana melihat ia masih belum banyak dipelopori di negara ini. Foto FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Juara musim pertama program Lawak Solo iaitu Danial berharap kemenangannya pada pertandingan itu dapat membuka peluang untuknya mengembangkan karier sebagai pelawak terutamanya dalam bidang lawak pengajuk (impersonator).

Danial atau Mohamad Danial Mohd Zaini, 23, berkata, dia memilih cabang lawak itu kerana ia masih belum dipelopori secara meluas di negara ini sekaligus dapat membezakannya daripada pelawak-pelawak sedia ada.

"Secara dasarnya saya ingin menjadi seorang penghibur kerana itu adalah minat saya tetapi menyedari kelebihan saya pada impersonator jadi saya berharap dapat mengembangkan karier dalam cabang tersebut.

"Ia sesuatu yang jarang dilakukan dan saya ingin menjadi pelopor kepada bidang itu, Insya-Allah," katanya kepada mStar Online.

Danial membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM80,000.

Pada peringkat akhir Lawak Solo yang diadakan di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini, Jumaat lalu, Danial berjaya mengalahkan tiga lagi peserta.

Kemenangannya itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM80,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Peserta dari Sabah iaitu Achmad Rusli, 28 mendapat tempat kedua manakala Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 22, pula ditempat ketiga.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 dan RM20,000 berserta trofi.

Persembahan Danial mencuit hati penonton.

Dalam pada itu, Danial berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang lawak pengajuk ketika berada di sekolah menengah apabila gemar mengajuk suara penyanyi Mawi.

Kata Danial, sejak dari situ, dia mula mengasah kemahirannya untuk meniru karakter personaliti lain seperti Datuk Yusof Haslam, Syamsul Yusof, Datuk Redzuawan Ismail @ Chef Wan dan Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

"Sebelum ini saya tidak pernah tahu tentang lawak pengajuk kerana menganggap ia sebagai suka-suka tetapi lama-kelamaan saya semakin serius.

"Saya tiada belajar secara khusus selain menonton video di Youtube dan menghafal gaya percakapan, bahasa badan seseorang figura yang ingin saya ajuk," katanya.

Peserta akhir Lawak Solo musim pertama bersama trofi kemenangan masing-masing.

Bagaimanapun kata Danial, ketika menyertai program Lawak Solo, penasihat komedi pertandingan itu, Nabil Ahmad, Ebby Yus dan Douglas Lim banyak membantu dalam menyerlahkan lagi bakatnya itu.

"Lawak Solo adalah pertandingan pertama yang saya sertai dan ketika berada di sini baharu saya tahu tentang apa itu impersonator selepas mendapat tunjuk ajar daripada penasihat lawak.

"Dari situ saya lebih banyak membuat bacaan dan menonton video impersonator luar negara untuk melihat cara mereka melakukan sesuatu karakter," jelasnya.

Ditanya mengenai wang ganjaran kemenangannya, Danial berkata, dia berhasrat untuk menggunakan sebahagian wang tersebut untuk menghantar ibunya, Rodziah Abdullah, 62, mengerjakan ibadah haji pada tahun hadapan.

Danial mula membuat lawak pengajuk sejak dibangku sekolah.

"Saya sebenarnya tidak menyangka akan menang dan mendapat hadiah wang tunai sebanyak itu tetapi sudah menjadi niat saya untuk menghantar ibu mengerjakan haji.

"Selebihnya saya akan simpan sahaja untuk kegunaan pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Danial yang berkhidmat sebagai juruvideo di Utusan Online memberitahu dia masih belum membuat keputusan sama ada akan meninggalkan kerjaya tersebut bagi menumpukan perhatian kepada bidang seni.

"Masih terlalu awal untuk saya buat keputusan kerana perlu berfikir masak-masak sebelum membuat pilihan," katanya.

Lawak Solo, Danial

Artikel Lain