suria

Nubhan Hampir Putus Asa Teruskan Perniagaan Produk Kosmetik

Penyanyi Nubhan mengakui hampir berputus asa meneruskan perniagaan produk kosmetik miliknya iaitu Juwita Divine. Foto IZZRAFIQ ALIAS

SERDANG: Penyanyi Nubhan mengakui berhadapan dengan pelbagai cabaran sehingga hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan kosmetik miliknya iaitu Juwita Divine.

Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 30, berkata, kekurangan pengalaman dalam menjalankan perniagaan dan gagal membuat keputusan baik menjadi faktor produk keluarannya itu hampir gagal.

"Sepanjang dua tahun mengusahakan produk ini memang banyak cabaran dan harus saya akui sebagai orang baharu saya banyak membuat kesilapan terutamanya dalam membuat keputusan.

Nubhan semakin optimis untuk mengembangkan perniagaannya ke tahap lebih tinggi.
"Antara cabaran lain terpaksa dihadapi adalah permainan harga pasaran dan kawalan perniagaan membuatkan produk itu sukar bersaing di pasaran ketika awal-awal ia dilancarkan," katanya kepada mStar Online.

Nubhan ditemui pada majlis penjenamaan semula Juwita Divine yang diadakan di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, baru-baru ini.

Majlis itu turut disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan disaksikan oleh Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Nubhan berkata, cabaran untuk membangunkan produk keluarannya itu juga membuatkan dia lebih matang dan belajar tentang selok-belok dunia perniagaan dalam memantapkan lagi jenama Juwita Divine.

Malah kata Nubhan, dia juga bertuah apabila usahanya itu sering mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan dalam meluaskan pasaran produk tersebut.

"Alhamdulillah saya bermula dengan MAHA dan pihak kerajaan banyak memberi bantuan sekaligus membuatkan saya lebih bersemangat untuk memajukan produk ini.

"Setakat ini Juwita Divine sudah pun mempunyai pelanggan dari Singapura, Brunei, Indonesia, Kuwait dan United Kingdom.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (kiri), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Nubhan dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan pada majlis pelancaran produk Juwita Divine.

"Pihak kerajaan juga bangga dengan perkembangan ini selain memberi sokongan penuh kepada saya," ujarnya.

Kata Nubhan, produk kosmetik itu mula mendapat perhatian dan permintaan kerana kelainannya ramuannya yang berasaskan bahan organik dan rumpai laut.

Dalam perkembangan lain, Nubhan berkata, dia bakal melancarkan single terbaharunya ciptaan Harry (Kalifah) pada Januari depan.

"Dua tahun saya berehat daripada karier seni untuk memberi fokus kepada perniagaan dan Insya-Allah lagu baharu akan dilancarkan pada tahun hadapan di bawah produksi MVM," jelasnya.
Nubhan, Juwita Divine, MAHA

Artikel Sebelum

Artikel Lain