suria

Ummi Nazeera Selamat Bertunang Dengan Lelaki Pilihan Keluarga

Pelakon drama bersiri Patahnya Sebelah Sayap itu kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Fizi Woo ketika bakal ibu mertuanya, Datin Seri Nurah Rahman menyarungkan cincin pertunangan. Foto Instagram @umminazeera

KUALA LUMPUR: Pelakon Ummi Nazeera selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan keluarga dikenali sebagai Mr. I, 29, pada sebuah majlis tertutup di kediaman keluarganya sekitar jam 2.30 petang di sini, Ahad.

Dalam satu kenyataan kepada mStar Online, Ummi, 26, berkata, dia mengenali lelaki yang bekerja sebagai doktor itu selepas diperkenalkan sendiri oleh ibu pemuda itu sendiri pada 29 Januari lalu.

"Sejujurnya, kami tidak pernah bertemu atau bertentang mata sebelum ini. Saya hanya mengenali Mr. I pada 31 Januari lalu apabila dia menghantar pesanan untuk berkenalan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Sejak itu, kami hanya berkomunikasi menerusi mesej tanpa bercakap atau mendengar suara masing-masing di talian telefon.

"Apabila memasuki sebulan setengah perkenalan menerusi mesej, dia akhirnya menelefon saya buat kali pertama sekali gus meluah perasaan untuk bertemu," katanya.

Tambah Ummi, dia turut meletakkan syarat kepada Mr. I iaitu perlu bertemu dengan ibunya, Datuk Seri Maziah Musa terlebih dahulu sebelum berjumpa dengannya.

Katanya lagi, dia tertarik dengan lelaki itu kerana berani menyahut pelawaan itu dan datang ke rumah untuk bertemu dengan ibunya.

Ummi dan Mr. I bakal berkahwin pada tahun hadapan.

"Dia cukup berani apabila datang ke rumah keluarga kami untuk berkenalan sambil menikmati makan malam bersama ibu saya.

"Itu adalah kali pertama kami bertemu dan keberanian yang dimilikinya itu menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa dia mampu menjadi ketua keluarga kepada saya.

"Dalam hati saya, dia berjaya melepasi ujian pertama apabila bertemu dengan ibu saya dan atas dasar itu, saya menerima keikhlasan hatinya apatah lagi hubungan ini menerima restu daripada ibu saya. Itu yang paling penting dan bahagia buat saya," jelasnya.

Sementara itu, Ummi berkata, Mr. I melamarnya untuk meneruskan hubungan itu ke fasa seterusnya selepas tiga bulan mengenali hati budi masing-masing.

"Dia berjumpa ibu saya sekali lagi untuk meminta persetujuan bagi menghantar rombongan merisik dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Selepas menerima persetujuan daripada ibu dan saya, kedua belah pihak mencapai kata sepakat untuk melangsungkan pertunangan pada 11 Disember (hari ini)," kongsi Ummi.

Bercakap lanjut mengenai majlis pertunangannya, Ummi berkata, dia tidak berniat untuk menyorokkan perkara itu sebaliknya ia atas permintaan keluarga yang mahukan sebuah majlis ringkas dan tertutup dan dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.

Pada majlis itu, pihak lelaki diwakili oleh keluarganya menyerahkan lima dulang berbalas lima oleh pihak perempuan.

Pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun depan.

Ummi Nazeera

Artikel Lain