PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM iaitu Fizie tidak berasa gentar untuk bersama-sama tiga lagi pengacara berpengalaman bagi sebagai hos Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) yang bakal berlangsung pada 22 Januari depan. Fizie atau Mohamad Hafizie Roslan, 28, sebaliknya berkata, dia teruja dapat bergandingan dengan pengacara lebih berpengalaman pada acara berprestij berkenaan iaitu Fara Fauzana, Awal Ashaari dan Sarimah Ibrahim. "Berdedar itu memang ada tetapi untuk berasa tersisih, tergugat atau bimbang kemunculan saya ditenggelami oleh hos lain yang jauh berpengalaman rasanya tidak. "Saya perlu berasa yakin kerana saya mempunyai cara tersendiri untuk membuat memastikan kehadiran saya nanti disedari dan bersahaja ketika berada di pentas. "Alhamdulillah sebelum ini saya dan Fara pernah bekerjasama cuma kali ini saya perlu meluangkan lebih masa bersama Awal dan Sarimah bagi mewujudkan keserasian ketika berada di pentas," katanya kepada mStar Online. Sementara itu, Fizie berkata, pengalaman mengacarakan program Muzik-Muzik dan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) sebelum ini banyak membantu dirinya untuk tampil lebih yakin di pentas AJL31 nanti. "Saya menimba pengalaman sebagai hos TV baru tiga tahun dan apa yang boleh saya katakan, ini peluang terbaik memantapkan lagi profil pengacaraan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Fizei berkata, selain sibuk di konti radio dia turut aktif menerima tawaran sebagai pengacara majlis menyangkal dakwaan bersikap 'demand' selepas namanya semakin dikenali. "Soal bayaran sebagai hos atau pun mengacara majlis tidak pernah menjadi isu kerana bayaran yang saya kenakan sama sahaja seperti dahulu. "Pada saya soal bayaran ini kita boleh berbincang dan mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak dan tidak timbul isu 'demand'," ujarnya yang turut menyediakan perkhidmatan menyewa sistem audio.