PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak memberitahu dia kini sedang giat melakukan senaman bagi membina otot badannya sebagai persediaan sebelum memasuki set penggambaran filem Polis Evo 2 tahun hadapan. Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 32, berkata, dia kini banyak menghabiskan masa di pusat kecergasan untuk mendapat bentuk tubuh sesuai dengan kehendak watak yang dipegangnya. "Jujurnya saya bukanlah seorang yang terlalu taksub untuk memiliki badan tegap dan berotot tetapi demi menjayakan watak dalam Polis Evo 2 nanti saya anggap ini sebagai satu tanggungjawab. "Saya baharu sahaja beberapa minggu memulakan senaman di gimnasium dan jujur saya katakan ia bukannya mudah. Zizan kini sedang giat membina otot bagi menjayakan filem Polis Evo 2 pada tahun hadapan. "Badan terasa sakit kerana tidak biasa dengan senaman membina badan tetapi ini adalah sesuatu yang perlu saya lakukan," katanya kepada mStar Online. Zizan ditemui pada Anugerah Melodi 2016 yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini pada Sabtu lalu. Pada acara itu, Zizan memenangi kategori Personaliti Filem Melodi 2016. Dalam pada itu, Zizan berkata, bagi memberi tumpuan kepada persediaan Polis Evo 2, dia kini banyak mengurangkan aktiviti seni bagi membolehkan dia fokus sebelum memasuki set penggambaran. Malah katanya, pihak pengurusannya, Astro turut memberi kelonggaran kepadanya untuk memastikan dia benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental untuk karya itu. Zizan kini mengurangkan aktiviti seni bagi membolehkan dia fokus kepada Polis Evo 2. "Polis Evo sangat diminati ramai dan untuk naskhah terbaharu itu nanti saya kena betul-betul bersedia. "Sebab itu sekarang saya tidak mengambil projek lain bagi memberi ruang kepada saya untuk tidak rasa terganggu. "Saya berbuat demikian kerana sedar harapan penonton dan peminat sangat tinggi untuk Polis Evo 2 jadi saya tidak boleh main-main," jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai kemenangannya pada Anugerah Melodi 2016, Zizan berkata, dia tidak menjangka kemenangan tersebut kerana merasakan calon lain turut mempunyai kelebihan masing-masing.