suria

Harith Iskander Dapat Idea Persembahan Ketika Dalam Perjalanan Ke Finland

Harith Iskander tidak menyangka bergelar juara Funniest Person in the World. Foto AZHAR MAHFOF/THE STAR

SEPANG: Pelawak terkenal, Harith Iskander memberitahu dia mendapat idea untuk persembahan pada peringkat akhir pertandingan Funniest Person in the World pada 9 Disember lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Finland.

Harith, 49, berkata, pengalaman kali pertama menaiki penerbangan kelas perniagaan yang penuh pelbagai kisah lucu membuatkannya tertarik untuk menceritakan hal itu kepada penonton.

"Dua bulan sebelum bertolak ke Finland saya sudah merancang persembahan saya kerana ingin memastikan kemunculan saya nanti dapat membuatkan penonton ketawa.

Harith mendapat idea persembahannya ketika dalam perjalanan ke Finland.
"Bagaimanapun pengalaman kali pertama menaiki penerbangan kelas perniagaan membuatkan saya menukar persembahan saya sepenuhnya.

"Alhamdulillah keputusan itu membawa kepada kejayaan ini," katanya kepada mStar Online.

Harith ditemui dalam sidang media mengenai kemenangannya pada pertandingan itu yang diadakan sejurus selepas ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Rabu.

Pelawak itu berjaya menumpaskan 88 peserta lain dari seluruh dunia bagi merebut gelaran juara dan sebagai imbuhan dia menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM444,845).

Dalam pada itu, Harith berkata, dia tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap ini dan menganggap ia hasil daripada doa, sokongan dan undian rakyat Malaysia.

Jelas Harith, dia juga berharap kemenangannya pada usianya sekarang dapat menjadi inspirasi kepada orang lain terutamanya golongan belia agar tidak berputus asa dalam mengejar impian.

"Usia bukan penghalang untuk kita melakukan sesuatu dalam hidup dan kemenangan ini bukan sahaja mengenai saya tetapi berharap ia boleh dijadikan inspirasi.

"Tiada apa yang boleh menghalang selagi kita berusaha dan percaya kepada diri," katanya.

Isteri Harith, Dr Jazemine Lim inspirasi terbesarnya.

Sementara itu, Harith berkata, dia turut terharu dengan sokongan ditunjukkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak atas semangat dan bantuan diberikan kepadanya.

"Sebelum saya mara ke peringkat seterusnya saya pernah bertemu dengan beliau dan terkejut apabila saya ditanya mengenai pertandingan itu.

"Ketika itu Dr Salleh sendiri menyatakan sokongan dan meminta saya menghubunginya sekiranya saya perlukan sebarang bantuan," ujarnya.

Tambah Harith, selain rakan-rakan seperjuangan, rakyat Malaysia dan keluarga, kejayaannya itu tidak mungkin terjadi jika tanpa pengorbanan isterinya, Dr Jazemine Lim yang sentiasa berada di sisinya sepanjang pertandingan itu.

"Dia adalah insan yang sentiasa berada dengan saya dan menguruskan semuanya agar teratur sepanjang pertandingan.

"Ketika membuat persembahan isteri yang paling kuat memberi sorakan tanpa menghiraukan orang lain," ujarnya.

Artikel Lain