PETALING JAYA: Keadaan kesihatan penyanyi era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin, yang diserang penyakit angin ahmar sejak awal Jun lalu kini semakin pulih. Isterinya, Datin Effa Rizan, 54, berkata, biduan berusia 75 tahun itu kini giat menjalani rawatan fisioterapi dua kali seminggu sejak dibenarkan keluar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Oktober lalu. Dahlan giat menjalani sesi fisioterapi dua kali seminggu. "Alhamdulillah keadaannya menunjukkan perubahan positif walaupun ia agak perlahan kerana faktor usia. "Buat masa ini suami saya dalam proses pemulihan dan perlu melakukan rawatan fisioterapi dua kali seminggu," katanya. Dahlan diserang angin ahmar pada 29 Jun lalu ketika berada di Perlis bagi menghadiri majlis buka puasa bersama anak yatim. Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 22 Julai lalu apabila keadaan kesihatannya kembali merosot. Bagaimanapun keadaan Dahlan beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada Oktober lalu. Dalam pada itu, Effa berkata, walaupun kesihatan suaminya merosot, namun Dahlan tetap menunjukkan semangat untuk kembali pulih seperti sediakala. Semangat Dahlan untuk kembali pulih cukup kuat. Malah kunjungan daripada rakan-rakan dan keluarga membuatkan dia sentiasa positif selepas mendapat kata-kata semangat daripada mereka. "Semangat yang ditunjukkan suami seolah-olah dia tidak sakit sehingga kadang-kadang saya berpesan kepadanya agar tidak terlalu memaksa diri. "Kunjungan rakan-rakan dan keluarga juga membuatkan dia sentiasa positif untuk meneruskan proses pemulihan," katanya.