KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Hamidun bakal bergabung kembali dengan kumpulan yang pernah mengangkat namanya dalam bidang seni iaitu UNIC menerusi sebuah konsert pada Mac tahun hadapan. Hafiz, 32, berkata, konsert khas itu diadakan bersempena sambutan 15 tahun penglibatan mereka dalam bidang seni. "Insya-Allah perancangan tahun 2017 saya bersama kumpulan UNIC akan bergabung kembali untuk meraikan sambutan 15 tahun kami dalam bidang seni menerusi sebuah konsert. "Ia bakal menyaksikan semua anggota terdahulu dan terkini bergabung di atas pentas sama pada konsert yang dijangka diadakan pada Mac depan," katanya kepada mStar Online. Hafiz ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Yang Dinanti dan kolesi kurta dibawah labelnya iaitu Haje di sini, Jumaat. UNIC yang popular menerusi lagu Hanya Tuhan Yang Tahu kini dianggotai oleh Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, Bazli Hazwan Che Rosman dan Wan Najdi Wan Mohd Noh. Selain Hafiz, bekas anggota lain kumpulan itu adalah Mohamad Fitri Mohamad Haris, Ahmad Fadzli Abd Aziz, Wan Sharifuddin Wan Hassan, Mohd Afendi Jahri dan Syed Mohd Azlan Syed Amirruddin. Hafiz baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Yang Dinanti. Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia menerusi syarikatnya, Arteffects International akan bertindak sebagai penaja konsert yang dijangka diadakan di Stadium Melawati Shah Alam itu nanti. "Selain menyampaikan lagu-lagu popular UNIC bersama semua anggota asal dan pengganti, konsert itu nanti diharap dapat mengimbau kembali kenangan dikalangan peminat. "Malah akan ada segmen di mana kami akan menceritakan beberapa kisah yang tidak diketahui peminat sepanjang penglibatan kami dalam arena muzik nasyid. "Semua pun tahu agak sukar untuk mencari penaja bagi mengadakan konsert jadi saya sendiri akan bertindak sebagai penaja selain dibantu oleh beberapa pihak lain," jelasnya. Bercakap mengenai single terbaharunya, Hafiz berkata, dia sudah merakamkan Yang Dinanti sejak beberapa tahun lalu namun menyimpan lagu berkenaan kerana merasakan belum tiba masanya ia dilancarkan. Kata Hafiz, lagu berkenaan dicipta khusus bagi meraikan hari kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan ia dirakamkan di Jakarta, Indonesia. "Lagu ini dicipta pada 2009 dan hanya selepas tiga tahun kemudian saya mula merakamkan muziknya dan membuat proses akhir pada tahun ini. "Ia mengambil masa lama kerana saya belum bersedia untuk melancarkan lagu itu tambahan sebelum ini saya sibuk dengan projek lain dan mencari masa sesuai," katanya. Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, koleksi kurta dikeluarkannya menampilkan empat rekaan dengan 60 variasi warna dengan rekaan ringkas tetapi moden. Buat permulaan, sebanyak 25,000 helai dikeluarkan dari empat koleksi itu dan 18,000 daripadanya telah pun ditempah oleh pengedar di seluruh Malaysia. "Empat koleksi tersebut Kurta Signature, Kurta Prelude, Kurta Define dan Kurta Upright mempunyai rekaan berbeza tetapi masih mengekalkan konsep ringkas tetapi moden. "Alhamdulillah ia diterima baik oleh penggemar kurta apabila 18,000 daripada 25,000 helai pada keluaran pertama telah pun ditempah. "Insya-Allah kami akan mengeluarkan lebih banyak rekaan seperti jubah dan baju Melayu bersempena sambutan Aidilfitri tahun hadapan," katanya.