suria

"Hidup Dalam Mati" Tidak Akan 'Dibuang' Syamel

Syamel

KUALA LUMPUR: Penyanyi Syamel tidak sesekali mahu membuang lagu Hidup Dalam Mati  dalam dirinya yang telah banyak berjasa dalam menempatkan nama dia untuk berada dalam industri muzik tanah air.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 23, berkata, dia akan mengenang lagu tersebut sepanjang kerjayanya biarpun sudah tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap karya itu.

"Selepas kontroversi lagu itu saya sudah tekad tak akan ada lagi Hidup Dalam Mati, tapi silap, saya naik dengan lagu itu dan sampai bila-bila pun saya tetap bawa lagu itu.

"Saya tidak boleh nafikan kemenangan saya pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM22) disebabkan lagu tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Syamel janji terus beri karya terbaik buat peminat.
Syamel memenangi kategori Artis Baru Terbaik pada AIM22 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad lalu.

Lagu Hidup Dalam Mati digugurkan daripada pencalonan akhir kategori Lagu Pop Terbaik apabila pihak pengurusannya mengambil keputusan menarik diri selepas terkait dengan kontroversi lagu ciplak.

Tambah Syamel, kemenangan tersebut memberi semangat baharu sebagai permulaan perjuangannya tahun hadapan dalam industri muzik tanah air.

"Ia adalah permulaan baik buat saya selepas kontroversi yang saya anggap sebagai dugaan, ia juga semangat untuk tahun baru 2017.

"Saya janjikan memberi karya lagu-lagu terbaik kepada peminat-peminat yang banyak memberi sokongan," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang perasaannya selepas tindakan menarik diri daripada bertanding di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik lalu, Syamel mengakui sedikit terkilan.

"Jujurnya memang saya ralat kerana saya sudah pergi soundcheck pada Separuh Akhir Muzik-Muzik itu, tapi saya tidak mahu ingat lagi tentang itu.

"Memang kalau ikutkan hati saya memberontak tapi sokongan orang sekeliling membuatkan saya dapat menerimanya," ujar Syamel.
Syamel, AIM22, Hidup Dalam Mati

Artikel Sebelum

Artikel Lain