suria

Penyatuan 9 Jam Muzik Reggae & Ska Di Festival Skankin 2016

Persembahan Salam Musik menggamatkan Festival Skankin 2016 yang berlangsung pada Sabtu lalu.

PETALING JAYA: Penyatuan dua genre iaitu reggae dan ska di atas pentas sama pada Skankin Festival 2016 yang berlangsung pada 24 Disember lalu menyaksikan 80 buah lagu dipersembahkan secara keseluruhan daripada barisan band terbaik di Malaysia buat julung-julung kalinya.

Bertempat di KL Live Kuala Lumpur, festival berlangsung selama sembilan jam dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam itu turut menghimpunkan 14 kumpulan dari dua genre tersebut bagi menghiburkan peminat.

Persembahan pada petang itu turut disertai oleh Hadi La Familia dan Rivernation sebagai pembuka tirai sebelum diteruskan dengan nama-nama besar dalam genre berkenaan.

Gerhana Ska Cinta.

Mereka adalah Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, Purevibracion, Republic of Brickfields, Plague of Happiness, Sharpshooter, Skudap Skudip, Wakakukz, Johny Comes Lately, Rosewood, Mbex Firdaus and The Souljah, dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Persembahan kesemua yang terlibat pada malam itu ternyata tidak mengecewakan apabila masing-masing mempersembahkan lagu-lagu hit dan saduran popular bagi menggamatkan pentas Festival Skankin 2016.

Malah suasana dalam KL Live juga turut gamat dan meriah dengan peminat-peminat muzik berkenaan dengan mempersembahkan tarian 'skanskin' iaitu gerakan pengenalan kepada reggae dan ska.

Vokalis Republic of Brickfields, Pak Aru turut diberi anugerah khas pada festival itu.

Dalam pada itu, pihak penganjur iaitu Cartel Production turut menyampaikan anugerah khas kepada vokalis kumpulan Republic of Brickfields iaitu Pak Aru sebagai mengiktiraf penglibatannya dan sumbangannya dalam pembangunan muzik reggae di negara ini.

Persembahan pada malam itu pula ditutup dengan kemunculan Plague of Happiness dengan persembahan yang cukup bertenaga.

Festival Skankin dijangka akan diteruskan dengan siri konsert jelajah di seluruh Malaysia pada 2017.

Artikel Berikut

Artikel Lain