PETALING JAYA: Pengarah filem Afdlin Shauki memberitahu projek terbaharunya iaitu sebuah filem epik berjudul Sandakan Tears dilihat sebagai peluangnya untuk menembusi pasaran antarabangsa. Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 44, berkata, walaupun tanggungjawab sebagai pengarah nashkah itu berat namun itu adalah satu ujian dalam memastikan hasilnya mampu membanggakan bukan sahaja namanya tetapi insustri perfileman tempatan. "Jujurnya saya gementar juga kerana sudah lama tidak mengarahkan filem tetapi ia tidak boleh jadi alasan kerana saya ada tanggungjawab besar. "Jika semuanya berjalan lancar saya yakin filem ini mempunyai potensi besar bukan sahaja untuk pasaran antarabangsa tetapi peluang lebih besar dalam memperkenalkan industri perfileman tempatan di luar negara. "Ini cabaran terbaharu buat saya dan sudah tentu ia turut menguji kemahiran saya sebagai pengarah," katanya kepada mStar Online. Sandakan Tears bakal mengangkat kisah tentang tentera dari Britian dan Australia yang terkorban selepas dipaksa oleh tentera Jepun untuk berjalan kaki dari Sandakan ke Ranau sejauh 140 kilometer. Filem yang menelan belanja sebanyak RM67.2 juta itu dijangka menjalani penggambaran di Sabah dan Australia. Ia juga bakal memperlihatkan Afdlin bekerjasama dengan pengarah terkenal Hollywood, Roger Christian selain bercadang untuk menampilkan pelakon Hugh Jackman sebagai bintang utama. Dalam pada itu, Afdlin berkata, buat masa ini dia sedang draf kedua skrip Sandakan Tears sebelum di hantar ke pihak produksi di Hollywood untuk dinilai sebelum ke peringkat seterusnya. Bagaimanapun katanya, buat masa ini dia sedang berusaha mencari pelabur terutamanya dari Australia bagi merialisasikan projek berkenaan. "Sebelum ini draf pertama skrip ditulis oleh dua penulis skrip dari Hollywood dan ia mengambil masa setahun untuk disiapkan termasuk penyelidikan berhubung sejarah melibatkan kejadian itu. "Alhamdulillah sekarang saya sedang menyiapkan draf kedua dan akan dihantar ke Hollywood untuk disemak sebelum sebarang penambahbaikkan dilakukan," katanya.