PETALING JAYA: Penyanyi Noraniza Idris kesal apabila masih ada pihak yang memandang rendah terhadap perjuangannya dalam memartabatkan Irama Malaysia di negara ini. Noraniza, 48, berkata, dia sering berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam usahanya itu selain diberi layanan tidak adil walapun perjuangan itu demi menaikkan lagi identiti budaya masyarakat. "Apa yang saya lihat dan lalui masih ada yang pandang rendah kerana penilaian yang dibuat terhadap apa yang ingin saya perjuangkan dipandang remeh. "Sebagai seorang anak seni yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam industri ini sudah tentu saya rasa kesal kerana terlalu banyak halangan terpaksa ditempuh. "Pernah saya berasa seperti ingin berputus asa tetapi saya ingin buat sehabis baik sebelum mengalah," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Noraniza berkata, dia berharap perjuangannya selama ini akan membuahkan hasil sebelum dia mengambil keputusan mengundurkan diri daripada bidang seni. Kata Noraniza, tiada apa yang diinginkan selain melihat martabat Irama Malaysia dipandang tinggi selain terdapat platform yang selesa untuk generasi baharu meneruskan perjuangan. "Saya tidak akan selamanya berada di sini tetapi sekiranya saya mengundurkan diri saya tetap akan menyokong perjuangan orang baharu. Noraniza bersama Pengasas Mewangi, Ayu Azmera pada majlis pelantikannya sebagai duta produk itu baru-baru ini. "Tetapi sebelum itu saya ingin melihat ada platform yang selesa untuk mereka berkarya dalam meneruskan menaikkan martabat identiti budaya kita di mata dunia," katanya. Bagaimanapun kata Noraniza, kemunculan program 3 Juara yang mencari bakat-bakat baharu dalam bidang nyanyian adalah bukti irama Malaysia dapat berdiri disamping genre lain seperti rock dan balada. "Usaha TV3 itu sangat baik dan sedikit sebanyak membuka mata masyarakat muzik tradisional itu mampu bersaing dan masih lagi mempunyai pengikut. "Malah bakat-bakat yang ditonjolkan semua mempunyai potensi dan unik dalam cara mereka tersendiri dan Alhamdulillah 3 Juara berjaya menonjolkan mereka," ujarnya yang turut bertindak sebagai juri program itu. Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Noraniza berkata, dia baharu sahaja dilantik sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan iaitu Mewangi. Kata penyanyi lagu Dikir Puteri ini, dia memang menggunakan produk tersebut dan yakin dengan keberkesanannya kerana ia menggunakan bahan-bahan semula jadi. "Saya memang gemar menjaga kecantikan dan kesihatan menerusi produk tradisional dan Mewangi tiba tepat pada masanya. "Ini kerana ia menggunakan bahan-bahan yang diformulasikan dengan sumber semula jadi seperti garam bukit, lilin lebah, pati bunga-bungaan dan herba tempatan. "Ia bukan sahaja untuk menjaga kecantikan wajah tetapi turut mempunyai produk untuk penjagaan seluruh badan," katanya. Selain itu, Noraniza berkata, pada Januari depan dia juga akan melancarkan single terbaharunya yang mendapat sentuhan penyanyi dan komposer Amir Jahari dan lirik, Ahmad Fedtri Yahya. "Menerusi lagu ini saya akan berduet dengan salah seorang peserta 3 Juara iaitu Tika dan lagu ini memperlihatkan kelainan hasil kreativiti penulis dan komposer namun masih mengekalkan Irama Malaysia," katanya.