PETALING JAYA: Penyanyi Haiza memberitahu minatnya terhadap muzik dangdut tidak pernah pudar walaupun selepas menyertai program Gegar Vaganza 2 apabila dia dilihat lebih memberi tumpuan kepada genre lain. Haiza atau Rohaizah Nordin, 36, berkata, dia tidak akan meninggalkan muzik itu kerana dangdut adalah punca dia masih berada dalam peta industri seni sehingga ke hari ini. "Bermulanya saya dalam industri ini kerana muzik dangdut itu sendiri dan mana mungkin saya lupakannya begitu sahaja. "Dangdut masih menjadi cinta pertama saya walaupun ada yang melihat saya kini lebih versetile ketika mengadakan persembahan. "Pada saya kita kena sentiasa ingat dari mana kita datang kerana itu yang membentuk siapa diri kita hari ini," katanya kepada mStar Online. Terbaharu Haiza adalah antara penyanyi yang menyertai program Duo Star yang memperlihatkan peserta tampil dengan peserta duet. Haiza bergandingan dengan Aepul (vokalis Drama Band) menerusi program yang disiarkan setiap hari Ahad itu pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123. Haiza dan Aepul bergandingan dalam Duo Star. Dalam pada itu, Haiza berkata, dia tidak berasa kecewa apabila single terbaharunya berjudul Tentang Cinta yang berkonsepkan balada kurang mendapat sambutan daripada pendengar. Sebaliknya kata Haiza, itu adalah risiko yang perlu diambilnya sebagai artis namun gembira kerana dapat menunaikan hasrat peminat. "Saya keluarkan modal sendiri untuk merakamkan lagu itu tetapi harus saya akui ia kurang mendapat sambutan baik dikalangan pendengar. "Tetapi tidak mengapa kerana itu adalah percubaan saya untuk merialisasikan permintaan peminat yang ingin saya tampil dengan lagu balada," katanya. Tambah Haiza, selepas Tentang Cinta dia merancang untuk kembali merakamkan single dangdut terbaharu tetapi dengan mengadunkan elemen semasa agar menepati citarasa pendengar. Dalam perkembangan lain, Haiza berkata, dia menyertai Duo Star kerana ingin mencabar dirinya memandangkan program itu menampilkan konsep persembahan duet. Katanya, Duo Star banyak memberinya pengalaman baharu dan berharap peminat akan menyukai gandingannya dengan Aepul. "Pada awalnya gementar juga kerana tugasan duet ini bukannya mudah tetapi Alhamdulillah ini satu cabaran untuk saya dan maklum balas diterima sangat baik," katanya.