suria

Suasana Suram Iringi Pengebumian SM Salim

Jenazah Allahyarham SM Salim dibawa keluar untuk disembahyangkan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO: Azman Ghani

KUALA LUMPUR: Suasana suram mengiringi pengebumian biduan negara, Allahyarham Tan Sri SM Salim yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini kira-kira pukul 2.45 petang Jumaat.

Allahyarham sebelum itu tiba di Masjid Jamek Kampung Baru, dekat sini kira-kira 10.40 pagi untuk dimandikan dan sembahyang jenazah selepas waktu solat Jumaat.

Kesemua ahli keluarga Allahyarham kelihatan sugul hadir berpakaian berwarna hitam sempat membacakan tahlil sebelum jenazah disembahyangkan.

Upacara pengkebumian turut dihadiri kira-kira 200 orang termasuklah ahli keluarga, sahabat handai dan rakan artis yang tidak melepaskan peluang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Orang ramai menunaikan solat jenazah SM Salim di Masjid Jamek Kampung Baru. Foto BERNAMA

Antara artis yang kelihatan ialah Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Datuk M Daud Kilau, Datuk Acis, Rahim Jailani, Datuk Jeffry Din, Uji Rashid dan Zack (Kool).

Sementara itu, M Nasir berkata, pemergian Allahyarham umpama kehilangan terbesar bintang irama Melayu asli negara.

Beliau pernah menghasilkan sebuah lagu untuk Allahyarham berjudul Seloka Cak Kun Cak pada 2013.

"Allahyarham pernah memberitahu melodi lagu saya Seloka Cak Kun Cak terlalu pantas dan sukar untuk dinyanyikannya. Tetapi akhirnya dia boleh menyanyikan lagu berkenaan dengan baik.

"Sekarang ramai penyanyi muda yang boleh menyanyi lagu tradisional dengan baik tetapi tiada seorang yang boleh menyanyi seperti dia," ujarnya.

SM Salim bersama Siti Nurhaliza pada Anugerah Industri Muzik 2002.
Bagi M Daud Kilau, Allahyarham adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkannya kepada industri muzik tanah air.

Katanya, Allahyarham juga seorang yang mudah didekati dan sering berjenaka.

"Allahyarham orang yang memperkenalkan saya dalam industri di mana setiap persembahan pentas dia akan membawa saya walaupun ketika itu orang tidak mengenali saya lagi.

"Dia juga juruhebah pertama yang memainkan album saya ketika itu dan banyak menyokong kerjaya nyanyian saya," ujarnya.

Bagi Uji Rashid, SM Salim seorang yang mempunyai karakter tersendiri sebagai seorang penyanyi.

Kelihatan Acis (dari kiri), M Nasir dan Marlia Musa. Foto AZMAN GHANI
Katanya, karakter itu seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada artis-artis baharu.

"Allahyarham seorang yang mempunyai karakter yang sangat menyenangkan kerana dia suka berjenaka.

"Dia boleh menyanyi dan dalam masa yang sama berjenaka menghiburkan penonton-penonton membuatkan orang sentiasa mengingatinya.

"Saya harap artis-artis baharu dapat mencontohi karakter Allahyarham," ujarnya.

Sementara itu, Uji Rashid turut meminta agar permintaan Allahyarham untuk tidak memutarkan lagunya di radio dihormati.

Dari kiri; Uji Rashid, Ramli MS dan M Daud Kilau yang turut terkesan dengan kematian SM Salim.
Datuk Ramli MS pula berkata, setiap kali bekerjasama dengan Allahyarham suasana ditempat kerja sentiasa ceria kerana sikapnya yang mudah mesra dan gemar mengusik.

"Jika anda rasa Nabil Ahmad itu kelakar, arwah ini sepuluh kali lebih lawak dan sentiasa bersemangat.

"Beliau berkawan dengan semua orang dan kehadirannya sentiasa disenangi kerana sikap ramahnya," kata Ramli.

Allahyarham menghembuskan nafas terkahir akibat sakit tua kira-kira pukul 5.44 petang Khamis di kediaman anaknya di Sering Ukay, Ampang dekat sini.

SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, mengalami lumpuh sejak 17 tahun lalu dan hanya mengharapkan kerusi roda untuk bergerak.

Selain menjadi penyanyi, beliau juga pernah bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya (kini RTM) pada tahun 1950-an.

Beliau meninggalkan isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani bersama tujuh orang anak iaitu Siti Nuraishah, 60, Sheikh Samsuddin, 68, Siti Nur Huda, 56, Siti Maheran, 54, Siti Huzayah, 53, Sheikh Shamsul, 51, dan Siti Zubaidah, 35.

SM Salim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain