suria

Daniel Lee Akui Sikap 'Demand' Punca Karier Terkubur

Daniel Lee mahu kembali aktif dalam bidang seni. Foto Ihsan Instagram @danielicate

PETALING JAYA: Juara program Malaysian Idol musim kedua iaitu Daniel Lee tidak menafikan sikap 'demand' membawa padah apabila kerjaya nyanyiannya kini terkubur.

Daniel atau Daniel Lee Chee Hun, 35, berkata, dia sering menolak tawaran nyanyian ekoran bayaran yang diberikan dianggap tidak setimpal sehingga menyebabkan penganjur serik mengundangnya mengadakan persembahan.

"Saya sedar kesilapan itu tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan akibatnya nama saya beransur-ansur pudar dari dunia seni.

"Mungkin saya tidak matang ketika itu kerana populariti yang mengejut membuatkan saya terlupa tentang kitaran hidup manusia yang tidak sentiasa berada di atas," katanya kepada mStar Online.

Daniel ditemui pada rakaman program khas Nona bersempena sambutan Tahun Baru Cina di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur di sini, Jumaat lalu.

Daniel menjuari program Malaysian Idol musim kedua pada 2005.

Dalam pada itu, Daniel berkata, sejajar dengan peningkatan usia dia kini sedar akan kesilapan dilakukan dan mula mengubah mentaliti kerana masih sayangkan karier nyanyiannya.

"Saya kini sudah berubah dan lebih terbuka kerana saya sedar penglibatan saya dalam bidang seni bukan hanya untuk mengharapkan ganjaran semata-mata.

"Ada lebih penting daripada itu dan saya ingin menjadi seorang anak seni yang ikhlas dalam berkarya," katanya.

Sementara itu, Daniel berkata, dia ingin membuatkan kemunculan semula namun keinginan itu terpaksa dipendam selepas sering diperdaya segelintir pihak yang disifatkan sebagai tidak ikhlas membantunya.

Malah katanya, kerana sering ditipu ia turut membuatkan dia berasa fobia untuk meneruskan hasratnya itu.

"Banyak kali saya terkena dengan penganjur yang berjanji untuk mengundang saya mengadakan persembahan namun membatalkan pada saat akhir.

"Saya rasa seperti diperlekehkan kerana banyak kali terkena sehingga terdetik juga rasa serik dalam diri," jelasnya.

Daniel tidak kisah jika perlu bermula daripada bawah.

Pun begitu kata penyanyi lagu Mimpi ini lagi, dia sentiasa terbuka sekiranya ada pihak yang serius untuk membantu menguruskan karier seninya selepas ini.

"Saya pernah hidup tanpa pendapatan tetap selama dua tahun dan pengalaman itu amat sukar bagi saya.

"Perancangan untuk kembali aktif itu memang ada tetapi saya tidak tahu dari mana harus saya bermula.

"Jika ada pihak yang ingin membantu dan menguruskan karier saya selepas hampir 10 tahun menyepi saya amat berbesar hati," katanya.

Tambah Daniel lagi, sekiranya ada peluang untuk dia kembali ke dalam bidang seni dia bersedia untuk bermula daripada asas tanpa dibayangi populariti masa lalu.

Daniel Lee, Mimpi, Malaysian Idol 2

Artikel Lain