KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino antara artis yang akan menyerikan Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 hingga 5 Mac depan. Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Datuk AB. Ghaffar A. Tambi berkata, penganjuran konsert ini diadakan bertujuan untuk membangkitkan nostalgia kegemilangan irama pop yeh yeh di kalangan penggemar irama itu selain mendedahkan kepada generasi muda tentang kemahsyuran lagu-lagu di era 60-an suatu ketika dahulu. "Seramai enam penyanyi terkenal era 60-an iaitu Datuk A. Rahman Hassan, Datuk L. Ramlie, Datuk Jeffrydin, J. Sham, A. Rozaini dan Maria Bachok terlibat secara langsung menjayakan konsert ini. "Lebih menarik, penyanyi muda Aiman Tino akan turut berkongsi pentas menyampaikan beberapa rangkaian lagu dalam usaha menarik generasi muda untuk lebih mengenali lagu-lagu irama Pop Yeh Yeh," katanya kepada mStar Online pada sidang media acara itu di Istana Budaya di sini pada Selasa. Dalam pada itu katanya, konsert berdurasi selama dua jam ini akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya yang diberi nama Agogo Istamuzika. Otai Pop Yeh Yeh dari kiri; A Rahman Hassan, L Ramlie dan Maria Bachok. Menerusi konsert ini juga, setiap penyanyi dikehendaki untuk menyanyikan sekurang-kurangnya tiga buah lagu secara solo selain beberapa lagu duet dalam pembahagian segmen yang akan dimaklumkan pada sesi sidang media kedua nanti. Sementara itu, penyanyi Maria Bachok turut meluahkan rasa terharunya kerana kesudian Aiman Tino untuk sama-sama terlibat menjayakan konsert ini. "Ini adalah usaha terbaik dalam menarik golongan muda yang belum kenal dengan keindahan lagu-lagu irama Pop Yeh Yeh. "Di sini saya berbangga kerana masih ada pelapis daripada generasi baharu yang sebenarnya berbakat menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan baik seperti Aiman Tino," katanya. Manakala Aiman Tino turut berbangga diberi kepercayaan untuk terlibat menjayakan siri konsert ini. "Ia satu cabaran buat saya kerana belum pernah menyanyikan lagu irama Pop Yeh Yeh sebelum ini namun saya akan memberi fokus mendalami 'air lagu' tersebut selepas Anugerah Juara Lagi 31 (AJL31) pada 22 Januari ini,” katanya. Konsert kerjasama Istana Budaya dan CTRA Production ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pukul 8.30 malam. Tiket dijual dengan harga RM50, RM80, RM150 dan RM180. Sebarang urusan tempahan tiket boleh layari website www.airasiaredtix.com atau terus ke laman Facebook: ctraproduction. KHAIRUL IMRAN