KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu rap dan hip hop, W.A.R.I.S mengakui terkejut dan tidak menyangka apabila perniagaan uniform sekolah berjenama Waghih yang dilancarkan pada November lalu mendapat sambutan luar biasa. W.A.R.I.S atau nama sebenarnya Muzzammil Alias, 28, berkata, perkembangan positif itu menggembirakan dirinya yang baharu berjinak-jinak dalam perniagaan itu. Katanya, sesi persekolahan yang baru dibuka merupakan faktor utama membantu penjualan uniform tersebut. "Kalau diikutkan jenama uniform saya ini, ia masih baru lagi berbanding jenama-jenama lain yang lebih kukuh dan popular dalam pasaran. "Namun saya percaya faktor harga yang lebih murah dan fabrik yang selesa membuatkan orang ramai memberi peluang dan mencuba jenama uniform saya," katanya kepada mStar Online. Perniagaan yang diusahakan bersama rakan penyanyi Juzzthin itu diasaskan pada 2015 dan mengambil masa selama setahun untuk proses pencarian fabrik dan penetapan harga yang bersesuaian. Waris bergambar di sebuah pusat beli-belah yang menjual baju jenama Waghih. Foto dari Instagram miliknya. Sejak dilancarkan pada hujung November lalu, uniform yang dihasilkan untuk pakaian pelajar sekolah rendah dan menengah itu dipasarkan di seluruh Negeri Sembilan. Penyanyi lagu Rembau Most Wanted dan Gadis Jolobu itu berkata, susulan respons yang memberangsangkan, dia berhasrat untuk meluaskan pasaran uniform tersebut kelak. "Saya sendiri tak sangka uniform ini dapat sambutan luar biasa sehingga kehabisan stok di seluruh pasar raya di Negeri Sembilan. "Kalau ada yang berbaki dan dipulangkan semula pun cuma beberapa helai yang mempunyai kualiti. Selebihnya memang habis. "Itu yang membuatkan saya makin bersemangat untuk meluaskan pasaran uniform ini ke negeri-negeri lain pula tidak lama lagi," katanya. Dalam perkembangan lain W.A.R.I.S berharap single terbaharunya berjudul Tepuk yang dilancarkan sejak beberapa bulan lalu mendapat sambutan daripada peminat. "Lagu ini sangat istimewa sebab ia adalah dedikasi untuk anak lelaki saya Muddassir yang kini hampir berusia empat bulan. Pengalaman dan harapan terhadap anak saya adalah inspirasi di sebalik lagu ini. "Besar harapan saya agar lagu yang menampilkan kelainan pada cara nyanyian ini diterima dalam kalangan peminat," katanya.