SHAH ALAM: Penyanyi Salma memberitahu dia tidak seharusnya berasa terlalu selesa sebagai peserta berpengalaman di pentas komersil untuk menghadapi saingan bersama dua lagi peserta di Pentas Epik 3 Juara pada 15 Januari depan. Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 26, berkata, biarpun kedua-dua saingannya itu masih baru dalam lapangan seni komersil, namun bakat kedua-duanya tidak harus dipandang enteng. "Biarpun saya dilihat sebagai peserta yang berpengalaman di pentas komersil, namun saya tidak boleh berasa terlalu selesa kerana Kudien dan Azizul punyai kekuatan dan aura tersendiri seakan penyanyi profesional. "Justeru, saya tidak melihat kelebihan yang ada pada saya itu sesuatu yang boleh memberi nilai tambah untuk saya dengan mudah menyasarkan gelaran juara di Pentas Epik 3 Juara, Ahad depan," katanya kepada mStar Online. Salma ditemui sebaik selesai program akhir 3 Juara yang berlangsung di Studio Sri Pentas, Plaza Alam Sentral Shah Alam, di sini, pada Ahad lalu. Salma merupakan juara bagi kategori Balada bawah didikan komposer Ajai dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000. Salma (tengah) akan berentap untuk pusingan juara bertemu juara pada Ahad depan dalam Pentas Epik 3 Juara. Salma yang memenagi kategori Balada akan bertanding melawan juara kategori rock iaitu Kudein (kiri) dan juara Irama Malaysia, Azizul. Kategori Rock pula dimenangi oleh Kudien sementara Irama Malaysia menjadi milik Azizul. Mereka akan beretmu untuk bertanding dalam juara antara juara bagi memilih siapakah paling terbaik dalam tiga kategori itu pada Ahad depan di Pentas Epik 3 Juara bagi merebut wang tunai RM100,000. Dalam pada itu, isteri kepada Azri Akedemi Fantasia 9 (AF9) ini turut berharap dengan penyertaannya menerusi program realiti 3 Juara kali ini mampu meletak kukuh namanya di persada seni hiburan komersil tanahair. "Orang mungkin sudah melihat usaha saya menyertai beberapa program realiti sebelum ini dan saya tidak pernah ambil pusing apa kata orang kerana saya bersikap positif. "Menyertai pertandingan dalam program realiti merupakan inisiatif yang saya ambil sendiri dalam usaha untuk menjenamakan lagi nama Salma di dalam industri hiburan tempatan agar lebih dikenali. Sementara itu, kata bekas protege Erra Fazira menerusi program realiti Mentor musim kelima ini lagi, dia tidak menolak kemampuannya menyanyi pada lagu-lagu bernada tinggi. Pun begitu, ibu kepada seorang anak ini mengakui menyanyikan lagu pada nada rendah turut memberi cabaran tersendiri buat dirinya. "Saya melihat sejak menyertai program 3 Juara, saya kerap juga diuji pada lagu-lagu bernada rendah dan di sini saya banyak belajar untuk mengatasi kelemahan itu dan mulai tahu bagaimana untuk 'delivered' dengan lebih baik. Ditanya tentang perancangan wang kemenangan berjumlah RM50,000 itu, kata Salma sebahagian duit tersebut akan digunakan untuk membuat kenduri akikah puterinya, Andi Raisya Mohamad Azri yang berusia 15 bulan.