PETALING JAYA: Penyanyi Amelina menyifatkan jumlah pengikut di laman Instagram miliknya yang kini mencecah 143,000 adalah sebagai bukti dia diterima baik peminat. Amelina atau Nurazlina Amir Sharifuddin, 43, berkata, angka itu memberi suntikan semangat untuk terus berusaha mengembangkan karier agar kehadirannya kekal relevan. "Saya rasa keputusan membuat kemunculan semula dibuat pada waktu yang tepat di saat platform media sosial seperti Instagram diminati ramai. Amelina bersemangat untuk terus mengukuhkan karier seninya. "Alhamdulilah ia banyak membantu perjalanan karier seni saya terutama daripada aspek mempromosikan perkembangan terbaharu biarpun adakalanya saya dilihat kuat 'berangan' di Instagram tetapi ia semua demi peminat," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Amelina juga tidak menyangka pengikutnya di laman sosial bukan sahaja di kalangan peminat seusianya malah peminat baharu daripada pelbagai peringkat umur. "Sejak mempunyai Instagram baru saya tahu ramai juga peminat Amelina di kalangan generasi baharu dan paling mengejutkan mereka tahu lagu-lagu saya walaupun ia bukan daripada zaman mereka," ujarnya. Sementara itu, Amelina berkata dia tidak bimbang walapun tiada lagu baharu dirakamkan pada masa ini kerana peminat masih mahukan dia menyanyikan lagu lamanya setiap kali mengadakan persembahan. Bagaimanapun kata Amelina, itu bukan bererti dia tidak mahu tampil dengan lagu baharu namun mengakui sukar mendapatkan karya baik yang sesuai dengan genre dangdut yang diperjuangkannya. "Saya sifatkan diri sebagai bertuah kerana di saat penyanyi lain sibuk mencari lagu baharu tetapi peminat saya pula tetap mahukan saya menyanyikan lagu lama ketika membuat persembahan. "Tetapi bukanlah bermaksud saya tidak mahu tampil dengan karya baharu tetapi untuk mendapatkan lagu seperti mana sentuhan Iwan suatu ketika dahulu agak sukar. "Saya masih dalam proses mencari material sesuai yang selari dengan perubahan muzik namun masih mengekalkan elemen dangdut," jelasnya.