suria

Tiada Kontrak Iklan Larang Amyra Hamil

Amyra Rosli berkata, buat masa ini dia masih belum hamil. Foto AIMAN ARIFUDDIN

KUALA LUMPUR: Aktres Amyra Rosli berkata dia tidak terikat dengan mana-mana kontrak periklanan yang melarang untuk dia hamil.

Sebaliknya, Amyra, 26, berkata, buat masa ini dia masih belum hamil selepas mendirikan rumah tangga hampir tiga bulan dengan aktor Amar Baharin.

"Semua iklan yang saya tandatangani setakat ini tidak menghalang saya untuk hamil. Jadi tiada masalah pun dari segi itu, cuma mungkin belum ada rezeki lagi (untuk hamil).

"Setakat ini belum ada berita gembira yang boleh dikongsi dengan semua," ujarnya kepada mStar Online.

Amyra dan Amar ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video karaoke berjudul Kisah Cinta Kita yang diadakan di Red Box Gardens, pada Selasa.

Amar Baharin dan Amyra menyanyikan lagu 'Kisah Cinta Kita' yang turut dijadikan sebagai muzik video.

Amar dan Amyra bernikah pada 11 November tahun lalu di Hotel Premiera, dekat sini.

Sementara itu, Amar berkata, rezeki untuk berlakon bersama isterinya lebih banyak diterima selepas mereka berumahtangga.

Katanya, dia tidak boleh menolak perkara tersebut biarpun pada awalnya dia berhasrat untuk kurang menerima tawaran jika digandingkan bersama isterinya itu.

"Alhamdulillah, rezeki kami lebih banyak dari segi tawaran berlakon bersama, setakat ini jadual sudah penuh sehingga lepas Hari Raya Aidilfitri.

"Pada awalnya kami memang berniat untuk kurangkan bergandingan bersama, tapi nak buat macam mana, kami tidak boleh nak tolak rezeki ini," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang lagu duet mereka iaitu
Kisah Cinta Kita, Amar berkata, penglibatannya dalam bidang nyanyian bukan untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada.

Amar dan Amyra semakin bahagia melayari rumah tangga.

Katanya, dia dan Amyra menyanyi sekadar untuk suka-suka dan tiada sebarang niat untuk memasuki pertandingan nyanyian.

"Kehadiran kami dalam bidang nyanyian bukan untuk mengacau periuk nasi penyanyi-penyanyi sedia ada.

"Kami sekadar suka-suka dan bukan untuk bertanding pun.

"Kami terima kehadiran penyanyi yang cuba jadi pelakon, kenapa pula mereka tidak terima kami untuk bersama-sama memeriahkan industri muzik kita," ujarnya menjawab pertanyaan segelintir artis yang berasa kurang senang dengan kehadiran pelakon menjadi penyanyi.

Bagaimanapun, Amar berkata, dia sudah bersedia dan tidak mengambil peduli tentang kecaman atau kritikan yang akan dilemparkan terhadap lagu berkenaan.

Lagu ciptaan DJ Fuzz dan Zah Amirul itu sudah dilancarkan secara eksklusif di saluran-saluran strim dan di semua cawangan Red Box.

Amyra Rosli, Amar Baharin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain