KUALA LUMPUR: Pelakon Elfira Loy menolak dakwaan dia terpaksa melupakan bidang lakonan yang diceburinya lebih 11 tahun lalu kerana sudah dipandang sepi oleh penerbit dan syarikat produksi. Sebaliknya Elfira, 23, berkata dia sendiri memilih untuk memperlahankan kerjaya seninya bagi memberi tumpuan kepada bidang perniagaan. "Saya memilih untuk berehat daripada berlakon buat sementara waktu, bukan sebab tak ada job. "Sebenarnya ada banyak tawaran berlakon tapi saya yang tak sempat nak buat," katanya kepada mStar Online. Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran produk kesihatan Sahi Sarang Burungdi Bangsar, di sini pada Isnin. Dia yang merupakan pengguna produk berkenaan hadir bagi memberi sokongan kerana berpuas hati dengan keberkesanannya selepas lebih sebulan mencuba produk itu. Elfira (tengah) bersama mereka yang terlibat dalam penghasilan produk Sahi Sarang Burung. Tambah Elfira yang sibuk mengusahakan kafe Love Me Seven Days di Cheras dan menguruskan jenama pakaian sendiri iaitu El by Elfira Loy, bidang usahawan kini menjadi keutamaanya. Walau bagaimanapun, dia mengakui rindu untuk kembali ke set lakonan jika menerima tawaran yang sesuai dengan jadual hariannya. "Buat masa ini saya perlu berada di kafe hampir setiap hari, banyak perkara perlu difikirkan terutamanya soal kualiti makanan, servis dan juga pemasaran. "Sebab itulah buat masa ini saya perlu tolak tawaran berlakon terutamanya drama kerana pengambaran pastinya akan memakan masa yang panjang," katanya. Namun jelas Elfira, kemunculannya menerusi telefilem Seindah Takdir bersama pelakon Aedy Ashraf di RTM pertengahan Januari lalu merupakan buah tangan bagi mengubat rindu peminat untuk melihat dia kembali aktif berlakon. "Kepada mereka yang selalu cakap saya tak ada job, telefilem itu adalah jawapannya. Disebabkan orang rindu, saya pun berlakon dan saya gembira dapat pasangan yang bagus. "Tak sangka orang nantikan kami, saya memang bersemangat masuk set penggambaran tapi nak buat bagaimana kerana saya ada komitmen lain. "Tapi memang saya berharap akan ada cerita yang baik untuk kami digandingan semula macam drama Qalesya," katanya. Elfira dan Aedy Ashraf pernah digandingkan menerusi drama Qalesya pada 2010.