PETALING JAYA: Penyanyi Kaka Azraff menjelaskan tiada sebarang ikatan istimewa di antara dia dengan gitaris kumpulan Kristal iaitu Rody seperti yang hangat diperkatakan sebelum ini. Kaka, 27, berkata, hubungan mereka sekadar kawan biasa dan dia menyifatkan gosip mengatakan mereka sedang bercinta sebelum ini sebagai salah anggap. "Tiada istilah bercinta di antara kami namun hubungan kami memang rapat tetapi sekadar kawan biasa sahaja. Rody (Kristal) dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Kaka. "Saya memang suka berkawan dengan semua orang dan mungkin keakraban kami telah disalah anggap sehingga timbul gosip mengatakan kami bercinta," kata Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff kepada mStar Online. Kaka ditemui pada tayangan rakaman malam kemuncak program Duo Star yang diadakan di sini, Ahad lalu. Pada pertandingan itu, Kaka yang bergandingan dengan Awi Rafael mendapat tempat kedua sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi. Rody sebelum ini dikatakan sudah bertemu dengan keluarga Kaka untuk merisik penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu sebagai isteri. Bagaimanapun Rody menyangkal dakwaan itu namun tidak menafikan mereka sedang berkawan rapat. Dalam pada itu, Kaka berkata, dia senang berkawan dengan Rody kerana sikapnya yang tenang selain mudah berbual dengan lelaki itu. "Sebagai seorang rakan saya senang dengan Rody kerana dia sentiasa tenang dan saya mudah berbual dengan dia. "Latar belakang 'rock' juga membuatkan kami mudah berkawan kerana berkongsi minat yang sama," ujarnya. Kaka dan Awi Rafael berjaya mendapat tempat kedua pada pertandingan Duo Star. Tambah Kaka, dia tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan termasuk soal jodoh bersama Rody. "Saya sebenarnya tidak mahu terlalu menafikan tentang gosip ini kerana saya tidak mahu nampak macam saya takut pula dengan situasi ini. "Tambahan pula kita tidak tahu apa akan jadi masa hadapan termasuk soal jodoh," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Kaka berkata, dia bakal muncul dengan telefilem untuk siaran slot cerekarama di TV3 berjudul Kesempatan Kedua bersama Izzue Islam pada April depan. Selain itu, Kaka berkata, dia kini sedang sibuk dengan rakaman album terbaharunya yang dijangka berada di pasaran selepas perayaan Aidilfitri.