suria

Reen Rahim Kesal Bekas Pembantu Ugut Sebar Gambar Peribadi

Reen Rahim memberi penjelasan kepada rakan-rakan media berhubung tindakan seorang wanita yang cuba mengugut untuk menyebarkan gambarnya. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI.

PETALING JAYA: Pelakon Reen Rahim kesal dengan perbuatan seorang wanita yang pernah berkawan rapat dengannya bertindak mencuri video dan gambar peribadi yang disimpan dalam telefon bimbitnya dengan tujuan tidak baik.

Reen, 29, berkata, wanita berkenaan juga bertindak melampaui batas apabila cuba menulis kenyataan berbaur ugutan di laman sosial Instagram yang dianggap boleh menjejaskan maruah dia dan keluarga.

"Saya mengenali individu itu lima tahun lalu apabila dia menawarkan diri untuk membantu saya dalam melancarkan aktiviti seni dan menguruskan kelab peminat.

Reen Rahim.
"Hubungan kami menjadi akrab sejak dua tahun lalu dan sepanjang kami berkawan rapat itu dia telah mengambil kesempatan untuk menyimpan gambar dan video peribadi saya dengan niat tidak baik.

"Sehinggalah apabila saya menjauhkan diri daripadanya atas sebab-sebab tertentu, dia tidak berpuas hati dan memburuk-burukkan saya di laman sosial termasuk kenyataan berbaur ugutan untuk menyebar gambar dan video peribadi saya yang dicuri dari telefon bimbit," ujarnya kepada mStar Online.

Reen atau nama sebeanrnya Noreen Ashikin Rahim ditemui pada majlis tayangan filem Soulmate Hingga Jannah yang diadakan di e@Curve, di sini, malam Selasa.

Aktres ini berkata, wanita itu juga membuat beberapa percubaan memburukkan namanya di beberapa media dengan memberi maklumat palsu dan fitnah.

"Saya percaya dia juga memberi beberapa cerita yang buruk tentang saya kepada beberapa media tempatan di ruangan gosip.

"Sekarang bila dia rasa tidak berpuas hati lagi dia burukkan nama saya di laman sosial pula," ujarnya.

Dalam pada itu, Reen berkata, dia sudah membuat satu laporan polis di Balai Polis Damansara pada malam Isnin lalu.

Katanya, dia juga kini memantau aktiviti individu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Saya tidak tahu video dan gambar apa yang dimaksudkan berada dalam simpanan dia. Apa-apa pun perbuatan dia itu satu kesalahan kerana dia mencuri video daripada saya.

"Setakat ini, kami nak tengok tindakan dia dan jika lebih teruk saya tidak teragak-agak ambil tindakan undang-undang.

"Tapi kalau dia sedar perkara tersebut salah, saya harap dia berhentilah dan jangan kacau kehidupan saya lagi," ujarnya.
Reen Rahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain