suria

Dahlan Zainuddin Rindu Menyanyi Selepas 7 Bulan Diserang Angin Ahmar

Dahlan Zainuddin melahirkan rasa rindu untuk kembali mengadakan persembahan selepas enam bulan diserang penyakit angin ahmar. Foto LOW LAY PHON
KUALA LUMPUR: Selepas hampir tujuh bulan tidak menyanyi, penyanyi era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin melahirkan rasa rindu untuk kembali mengadakan persembahan pentas.

Dahlan, 76, yang diserang penyakit angin ahmar pada Jun tahun lalu berkata, sepanjang tempoh itu dia sentiasa berharap dapat kembali menghiburkan peminat.

"Rasa rindu hendak menyanyi sentiasa ada kerana nyanyian sudah sebati dengan diri saya.

Dahlan semakin pulih.
"Kerana perasaan rindu itu juga saya semakin bersemangat untuk kembali pulih agar saya dapat kembali menghiburkan peminat," katanya kepada mStar Online.

Dahlan ditemui pada sidang media sempena konsert amal untuknya iaitu Datuk Dahlan Zainuddin Charity Fundrasing Concert yang diadakan di sini, Rabu.

Hadir sama Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Pada acara itu, Dahlan sempat mendendangkan dua buah lagu hitnya iaitu Joget Kaki Lima dan Wajah-Wajah Cinta dengan baik walaupun kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Dahlan berkata, keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas dia memberikan tumpuan kepada fisioterapi yang perlu dilakukannya dua kali seminggu.

Malah dia juga tidak pernah terlepas setiap temu janji yang perlu dihadirinya di tiga buah hospital berbeza bagi memastikan kesihatannya terjaga.

"Selain angin ahmar, saya juga ada masalah buah pinggang, jantung, paru-paru dan saraf tetapi Alhamdulillah setakat ini semuanya terkawal.

"Walaupun belum pulih sepenuhnya saya akan memastikan makan ubat pada waktu ditetapkan selain berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan berkala," katanya.  

Isteri Dahlan, Datin Effa Rizan adalah kekuatannya untuk kembali pulih.

Sementara itu, Dahlan berkata, dia amat berterima kasih kepada isterinya, Datin Effa Rizan, 55, yang menjadi tulang belakangnya bagi memastikan kesihatan dia sentiasa terjaga.

Kata Dahlan, dia mungkin tidak dapat kembali pulih tanpa sokongan dan dorongan wanita berkenaan yang tidak jemu-jemu menjaganya.

"Selain nyanyian sebagai semangat, isteri saya adalah insan paling penting dalam memastikan saya sentiasa bersemangat untuk pulih.

"Dia sentiasa berada dengan saya untuk memastikan semuanya terjaga dan tanpa dia saya mungkin tidak dapat lakukannya sendiri," jelasnya.

Dahlan diserang angin ahmar pada 29 Jun lalu ketika berada di Perlis bagi menghadiri majlis buka puasa bersama anak yatim.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 22 Julai lalu apabila keadaan kesihatannya kembali merosot.

Dahlan kelihatan ceria pada sidang media konsert amal yang diadakan di Hard Rock Cafe pada Rabu.

Bagaimanapun keadaan Dahlan beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada Oktober lalu.

Bercakap mengenai konsert amal yang diadakan khas untuknya, Dahlan berkata, dia sangat terharu dan gembira kerana masih ada pihak yang mengingati dan ingin membantunya.

Kata Dahlan, dia teruja dengan konsert berkenaan kerana dapat bertemu dengan semua kenalan lamanya selain berjanji akan menyampaikan beberapa buah lagu pada persembahan itu nanti.

"Tiada kata dapat saya ucapkan selain terima kasih dan terharu apabila ada pihak masih mengingati saya malah sepanjang saya sakit rakan-rakan artis sentiasa bertanya khabar dan datang melawat.

"Usaha yang dilakukan oleh Karyawan dan Melody United Music sangat saya hargai.

"Insya-Allah pada hari konsert itu nanti saya tidak mahu duduk sebagai penonton sahaja malah ingin sama-sama beraksi dan menghiburkan peminat," ujarnya.

Dahlan sempat menyampaikan dua buah lagu untuk tetamu yang hadir ke sidang media berkenaan.

Konsert yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia dan Melody United Music itu bakal diadakan pada 19 Februari ini di Hard Rock Cafe bermula pukul 2.30 petang.

Antara artis yang bakal mengadakan persembahan adalah Jay Jay (Carefree), Fredo (Flybaits) dan Jatt (Black Dog Bone).

Turut terlibat adalah artis daripada Melody United Music seperti Kris Patt, Patriot Band, Wafi, Alfi Alwi dan Calvin Clarke.

Tiket untuk menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga RM250 (VVIP), RM200 (Platinum), RM150 (Gold), RM100 (Silver) dan RM50 (Bronze) dan ia boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com.

Untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 019-361 1535 atau emel ke [email protected].

Semua hasil jualan tiket akan diserahkan kepada Dahlan sebagai bantuan meringankan bebannya yang perlu berulang-alik ke hospital.

Dahlan Zainuddin, Karyawan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain