suria

Danial (Lawak Solo) Berhenti Kerja Untuk Jadi Pelawak

Danial meninggalkan kerjaya sebagai jurufoto di sebuah akhbar bagi memberi tumpuan kepada karier seni. Foto AIMAN ARIFUDDIN
KUALA LUMPUR: Juara Lawak Solo musim pertama Danial memberitahu dia telah mengambil keputusan untuk melepaskan pekerjaan tetapnya sebagai jurufoto sebuah akhbar bagi memberi fokus kepada kerjaya sebagai pelawak.

Danial, 24, berkata, dia yakin membuat keputusan tersebut selepas ditawarkan kontrak selama dua tahun sebagai penyampai radio Era FM.

"Berat hati juga untuk membuat keputusan tersebut kerana saya sudah selesa dan bergaji tetap di tempat kerja lama.

"Namun bila pihak Astro menawarkan untuk menjadi penyampai Era FM dan memberi gaji tetap selama dua tahun, saya bersetuju," ujarnya kepada mStar Online.

Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini,  ditemui pada majlis pelancaran Maharaja Lawak Mega 2017 yang diadakan  di Hotel Royale Chulan, di sini, Rabu.

Danial kini bertugas sebagai juruhebah radio Era FM.

Danial berkata, keputusan untuk menyertai bidang seni sepenuh masa itu juga disokong oleh keluarga dan syarikat lamanya.

"Pihak syarikat lama saya pada asalnya memberi saya masa untuk bercuti panjang dan meneruskan pertandingan lawak yang saya minat.

"Tapi saya sudah jelaskan kepada mereka bahawa hasrat untuk fokus sepenuh masa dalam bidang ini.

"Alhamdulillah, ibu-bapa pun turut memberi restu dan menyokong keputusan ini," ujarnya.

Danial kini mengendalikan segmen Solo di Era FM bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 tengahari sejak 1 Februari lalu.

Danial pertama kali menyertai Maharaja Lawak Mega 2017.

Sementara itu, Danial yang pertama kali memberi saingan di pentas Maharaja Lawak Mega mengakui gementar untuk bersaing dengan pelawak-pelawak lebih berpengalaman.

Katanya, dia akan cuba yang terbaik dan mempunyai strategi tersendiri.

"Gementar kerana di pentas ini saya perlu bersaing dengan pelawak berkumpulan dan saya pula solo malah kebanyakkan mereka pula jauh berpengalaman daripada saya.

"Saya akan buat yang terbaik dan saya berjanji tidak akan ada karakter-karakter yang pernah saya bawa pada pertandingan Lawak Solo," ujarnya yang turut berhasrat menjemput personaliti Datuk Chef Wan pada aksi bersama artis jemputan.

Program ini bakal bersiaran secara langsung bermula pada 17 Februari ini  Royal Teater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam di Saluran Astro Warna dan Mustika HD.

Artikel Lain