SHAH ALAM: Status sebagai artis senior bukan tiket bagi penyanyi dan pelakon Amy Mastura untuk bersikap meninggi diri terutama terhadap pendatang baharu industri hiburan. Jelas Amy, 45, prinsip suka mengelak daripada terlibat dalam pergaduhan sesama artis merupakan salah satu ramuan baginya untuk bertahan sejak 15 tahun yang lalu. "Saya tidak pernah bergaduh dengan artis dan kalau boleh saya cuba elakkan daripada terlibat dengan pergaduhan sejak daripada dulu lagi. Amy Mastura sentiasa positif dalam apa jua keadaan. "Kalau kita tidak suka sesuatu keadaan kita tarik diri dan jangan panaskan perkara itu. Saya akui tidak boleh mengawal situasi seperti itu," ujarnya kepada mStar Online. Pelakon filem Puteri Impian ini berkata, dia sentiasa mengamalkan sikap positif dalam apa juga keadaan dan menghindari suasana yang tidak sihat dalam perkerjaan. Katanya, dia juga tidak pernah meletakkan sebarang jurang terutamanya status antara artis lama dan baharu. "Saya tidak meletakkan diri saya sebagai seorang senior di kalangan artis baharu, jika mereka tidak bersalam dengan saya di lokasi, saya akan bersalam dengan mereka dahulu. "Saya rasa itu bukan perkara besar kerana mungkin mereka terlepas pandang dan tidak perasaan kita di situ. Saya juga kadang kala melalui perkara yang saya jika terlalu asyik berbual," ujarnya. Penyanyi lagu Bintang Hati ini menjadi tetamu undangan dalam program bual bicara The Sarimah Show yang dihoskan Sarimah Ibrahim. The Sarimah Show akan mula bersiaran pada 5 Mac depan. Dalam program berkenaan Amy turut mendedahkan bahawa dia sering menyanyikan lagu secara miming jika dikehendaki oleh penganjur. "Ya saya ada menyanyi secara miming dalam majlis-majlis tertentu atas permintaan penganjur. Ada penganjur yang tidak mempunyai sistem bunyi yang cukup. "Saya tidak kisah kalau menyanyi secara live atau miming, asalkan perkara itu tidak menjadi masalah kepada penganjur," ujarnya.