KUALA LUMPUR: Kejayaan merangkul dua anugerah menerusi lagu Lelaki Terakhir pada sebuah acara hiburan baru-baru ini terus mengukuhkan nama Dayang Nurfaizah dalam industri hiburan tanah air. Akui penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu, dia tidak mampu bertahan dalam bidang yang diceburinya ini sejak 18 tahun lalu tanpa sokongan peminat. "Oleh itu saya tak sabar nak sertai acara jelajah ke seluruh negara dalam masa terdekat bagi menemui peminat. "Saya nak temui peminat di luar Kuala Lumpur...pergi ke kawasan luar bandar dan hiburkan mereka," katanya kepada mStar Online baru-baru ini. Lagu Lelaki Terakhir berjaya membawa kejayaan besar kepada Dayang pada AJL31 yang lalu. Dayang, 36, ditemui pada majlis kesyukuran kejayaan drama 7 Hari Mencintaiku dan lagu Lelaki Terakhir yang berjaya merangkul trofi anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL-31). Pada angurah itu Dayang turut memenangi kategori vokal terbaik menerusi lagu tema drama terbitan Datuk Ziela Jalil yang mencetuskan fenomena di kalangan penonton. Dayang yang bernaung di bawah syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd bagaimanapun berkata program jelajah itu hanya akan diadakan selepas album terbaharunya dilancarkan dalam masa terdekat. "Selepas album baharu saya dilancarkan, Indigital telah merancang projek berkenaan. "Saya akan turun ke seluruh negara bagi mempromosikan album itu," katanya. Bercerita lanjut mengenai album itu, Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata ia bakal memuatkan 10 lagu hasil ciptaan beberapa komposer baharu dan lama. Jelas Dayang, tiga single popularnya iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung akan turut dimuatkan dalam album berkenaan. Selain itu tambah Dayang dia turut mengimpikan sebuah konsert solo bagi menghargai peminat yang sentiasa menyokong karier seninya. "Namun itu masih di peringkat perancangan, masih banyak yang perlu diberi perhatian khusunya kelapangan masa kru dan pemuzik serta penentuan lokasi. "Tunggu saya lancarkan album dulu, kemudian baru saya akan merancang konsert ini dengan lebih terpeinci," katanya.