PETALING JAYA: Pelakon komedi Azad Jazmin memberitahu dia menolak banyak tawaran untuk menyertai pertandingan lawak bagi menjaga reputasinya sebagai pelakon. Suami kepada pelakon Eira Syazira ini berkata, dia tidak mahu pertandingan yang disertainya itu memberi kesan terhadap penjualan filem-filem yang dilakonkan. "Setiap tahun saya dapat tawaran untuk menyertai pertandingan Maharaja Lawak dan pertandingan lawak yang lain. Mereka minta saya bergabung dengan beberapa pelawak tanah air. "Saya terpaksa tolak kerana saya tidak mahu apa-apa yang terjadi pada pertandingan itu memberi kesan kepada penjualan filem yang saya lakonkan," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Azad atau Azad Jazmin John Louis Jeffri, 41, dia lebih selesa bergelar seorang pelakon filem atau drama berbanding pelawak. Pelakon filem Nana Tanjung ini ditemui pada majlis tayangan filem terbaharunya berjudul J Revolusi yang berlangsung di e@Curve baru-baru ini. Dia membawa watak Skodeng dalam filem aksi kepolisian yang bakal ditayangkan di seluruh negara pada 2 Mac depan. Sementara itu, Azad berkata, dia bakal ke Indonesia bagi menemani isterinya yang sudah melebarkan sayap di negara sebarang itu. Katanya, Eira sudah menerima beberapa tawaran berlakon sinetron dan akan menyambung promosi single Masih Ada Jodoh di sana. "Saya sudah menerap di Indonesia selama enam bulan tahun lalu untuk kerjaya Eira tapi kami terpaksa berehat kerana dia hamil. "Insya-Allah pada Mac ini kami akan ke sana balik kerana ada beberapa projek dan kontrak dengan pihak di sana," ujarnya.