suria

RM5,000 Berjaya Diraih Bagi Bantu Dahlan Zainuddin

Dahlan berharap lebih banyak konsert amal dianjurkan bagi membantu golongan artis yang memerlukan. -foto AZLINA ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Melody United Music berjaya mengumpul dana sebanyak RM5,000 menerusi Datuk Dahlan Zainuddin Charity Fundrasing Concert yang diadakan di Hard Rock Cafe di sini, Ahad.

Presiden Karyawan, Datuk Freedie Fernandez berkata, wang hasil jualan tiket konsert itu akan diserahkan kepada Dahlan untuk menampung kos rawatan penyakit angin ahmar yang dihidapinya.

"Syukur projek bagi membantu Datuk Dahlan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan kutipan daripada jualan tiket selepas ditolak kos akan diserahkan kepada beliau untuk membantu meringankan bebannya sejak diserang penyakit angin ahmar.

"Kehadiran peminat yang membeli tiket telah membantu merialisasikan bantuan ini. Sambil mereka berhibur dapat juga menderma kepada beliau yang memerlukan," katanya kepada mStar Online.


Ceria... Dahlan akui bersemangat untuk kembali aktif dan melawan penyakit yang dihidapinya.

Pada konsert itu, tiga artis terkenal iaitu Jay Jay (Carefree), Fredo (Flybaits) dan Jatt (Black Dog Bone) tampil menghiburkan peminat.

Turut terlibat adalah artis daripada Melody United Music seperti Kris Patt, Patriot Band, Wafi, Alfi Alwi dan Calvin Clarke.

Pada akhir acara, Dahlan turut mengadakan persembahan menerusi tiga buah lagu iaitu Lagu Untuk Mu, Kisah Seorang Biduan dan Save the Last Dance For Me.

Dalam pada itu, Freedie berkata Karyawan akan terus mengadakan program amal seperti ini bagi membantu lebih ramai artis yang memerlukan bantuan.

"Konsert Dahlan adalah sebagai permulaan dan kita sasarkan untuk mengadakan acara seperti ini lebih kerap pada masa hadapan.

"Malah mungkin kami akan adakan mini konsert di Hard Rock Cafe di Melaka, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu pula," katanya.

Sementara itu, Dahlan ketika ditemui berkata, beliau menjadikan nyanyian sebagai terapi untuk kembali pulih daripada penyakitnya.


Dahlan (empat dari kanan) dan Freedie (empat dari kiri) bersama antara barisan artis yang turut membuat persembahan.

Malah kata Dahlan, nyanyian sentiasa memberinya semangat dan ingin meneruskan karier seni kerana bidang itu adalah cintanya.

"Apabila dapat menyanyi dan membuat penonton gembira saya jadi bersemangat dan ia seperti terapi buat diri saya.

"Melihat sokongan daripada rakan-rakan industri, keluarga dan sahabat handai pada hari ini saya jadi lebih bersemangat untuk kembali pulih.

"Saya harap acara seperti ini dapat diteruskan sekaligus membantu lebih banyak artis yang mengalami masalah," ujarnya.

Vokalis Black Dog Bone, Jatt juga senada dengan Dahlan dan berharap konsert amal seperti ini dapat diteruskan.

Malah kata Jatt, ketika dihubungi oleh pihak Karyawan berhubung konsert itu dia terus bersetuju kerana ingin membantu rakan artis.

"Sebagai rakan artis ini adalah sumbangan kecil saya tambahan pula saya mengenali Datuk Dahlan.

"Terkejut juga apabila mendengar khabar beliau sakit dan kami sama-sama pernah terlibat dalam sebuah persembahan sebelum ini," jelasnya.

Pada acara itu Jatt turut menyampaikan beberapa buah lagu seperti Dulu dan Sekarang, Gadis Ayu, Bila Rindu dan Joget Bujang Di Rantau.

Dahlan diserang angin ahmar pada 29 Jun lalu ketika berada di Perlis bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 22 Julai lalu apabila keadaan kesihatannya kembali merosot.

Bagaimanapun keadaan Dahlan beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada Oktober.

Artikel Sebelum

Artikel Lain