suria

24 Artis Berentap Rebut RM30,000 Dalam 'Perang Bibir'

Antara artis yang terlibat dalam rancangan Perang Bibir di TV9. -foto AIMAN ARIFUDDIN / The Star

KUALA LUMPUR: Gelagat 24 artis menggayakan semula persembahan lagu-lagu hit tempatan dan antarabangsa menerusi rancangan Perang Bibir bakal menghiburkan penonton TV9 bermula 2 Mac depan.

Menerusi rancangan itu, para peserta bakal menjalani beberapa cabaran menggunakan bibir termasuk lip sync bertema bagi merebut wang tunai sebanyak RM30,000.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Zurina Othman berkata, Perang Bibir yang berkonsepkan muzikal dan hiburan ringan merupakan kejutan besar buat penonton TV9.

"Persembahan lip sync bertema atau secara spontan oleh peserta yang kita kenali sebagai contender membuahkan hasil yang amat luar biasa kerana semua artis yang terlibat teruja dan bersungguh-sungguh menjayakan program ini," katanya kepada mStar Online.

Zurina ditemui selepas sidang media pengenalan rancangan Perang Bibir yang akan bersiaran pada pukul 9.30 malam setiap Khamis di TV9.

Antara barisan artis yang menyertai program tersebut ialah Amar Asyraf, Izzue Islam, Raja Afiq, Reen Rahim, Izreen Azminda, Zulin Aziz, Ryzal Jaafar, Elizad Sharifuddin dan Syazwan Zulkifly.

Selain itu ia turut menampilkan Syafiq Kyle, Mawar Rashid, Mustaqim Bahadom, Hafeez Mikail serta Ramona Zamzam.

Kesemua 24 peserta itu akan melalui pusingan kelayakan dan perlu menyelesaikan cabaran dengan tema berlainan pada setiap episod seperti carta bibir, k-pop, wayang lebih (OST), joget, rock, hip hop, R&B, bollywood dan kenangan lalu mengusik jiwa.

Perang bibir terbitan Primeworks Studio sebanyak 12 episod itu dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Dennis Yin.

Perang Bibir, TV9

Artikel Berikut

Artikel Lain