suria

Nabil Ahmad Bimbang Gagal Di Karpet Merah Anugerah Akademi 89

Nabil Ahmad berharap dapat menemubual selebriti Hollywood. Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad berasa bimbang sekiranya gagal menggalas tanggungjawab sebagai pengacara di karpet merah Anugerah Akademi ke 89 (Oskar) yang akan berlangsung di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat pada 27 Februari ini.

Nabil, 33, berkata, dia risau jika tidak berpeluang untuk menemuramah beberapa nama besar Hollywood yang turut berada pada malam anugerah tersebut.

"Saya takut menghampakan penonton Malaysia jika tidak dapat menemuramah artis-artis besar yang menjadi perhatian seperti Ryan Gosling dan Emma Stone.

"Saya difahamkan agak sukar untuk mendekati mereka kerana terlalu ramai media asing yang membuat liputan dan saya perlu berebut untuk mendapatkan mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Nabil merupakan pengacara kedua selepas Datuk Aznil Nawawi yang dipilih untuk menjadi hos karpet merah anugerah itu yang bersiaran secara langsung di HBO Sentral saluran 431 bagi siaran negara ini.

Dia bakal berangkat ke Los Angeles pada Khamis ini dan berada di sana selama dua minggu.

Nabil akan berada selama dua minggu di Los Angeles.

Sementara itu dia juga sudah membuat persiapan dan kajian terhadap filem dan selebriti antarabangsa yang bakal ditemuinya pada acara berkenaan.

"Saya sudah menonton dan mengkaji sembilan filem yang bakal dipertandingkan serta soalan-soalan yang releven untuk mereka.

"Ini peluang yang paling besar dalam kerjaya saya dan saya tidak mahu ia disia-siakan. Saya harap dapat minta mereka bercakap dalam bahasa Melayu untuk penonton Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kerjayanya sebagai pengacara kini semakin meningkat  dan hampir setaraf dengan  pengacara berpengalaman Aznil, Nabil berkata, dirinya masih jauh untuk dibandingkan dengan personaliti televisyen itu.

Malah, Nabil berkata, dia masih meminta pandangan dan tunjuk ajar daripada Aznil dalam pelbagai situasi yang tidak pernah dialaminya.

"Saya belum setanding dengan beliau lagi dan jauh lagi untuk sampai ke tahap itu. Saya rasa berani untuk menerima tawaran ke Anugerah Oskar itu selepas mendapat nasihat daripada Aznil.

"Pada saya tempat dia sekarang memang susah untuk ditandingi dan pengalamannya yang sudah bertemu dengan ramai selebriti Hollywood belum pernah dilakukan oleh pengacara Malaysia yang lain," ujarnya. 
Nabil Ahmad, Anugerah Akademi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain