suria

Wan Sharmila Tak Rasa Malu Diberi Watak Tempelan

Wan Sharmila mengakui pelakon pembantu juga mempunyai cabaran penting bagi melengkapkan keseluruhan jalan cerita.
KUALA LUMPUR: Sungguhpun sering diberi peranan sebagai pelakon pembantu atau tempelan, aktres Wan Sharmila tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang memalukan.

Menurut wanita berusia 36 tahun itu, adalah lebih buruk jika pembawa watak utama gagal memainkan peranan dengan baik sehingga menjejaskan sesebuah drama atau filem.

"Dari dulu saya tak pernah malu atau berkecil hati bila terima tawaran sebagai watak tempelan. Kalau dapat watak utama tapi komitmen tak bagus pun tak baik juga," katanya kepada mStar Online.

Nama Wan Sharmila kini semakin menjadi bualan peminat selepas kejayaan drama 7 Hari Mencintaiku terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd menerusi watak Sofi.

Wan Sharmila akan memastikan setiap watak yang diberi kepadanya dapat dihayati dengan baik dan berkesan.

Ditanya sama ada dia tidak pernah mengimpikan untuk membawakan watak yang lebih mencabar, Wan Sharmila Wan Muhamed berkata dia lebih mementingkan mutu lakonan agar ia memberi kesan di hati penonton.

"Saya lebih mengimpikan untuk berlakon dalam sebuah cerita dan diberi watak yang bermakna, berbaloi dan beri impak kepada penonton.

"Seperti dalam drama 7 Hari Mencintaiku, walaupun watak saya tidaklah besar, tapi saya berusaha pastikan penanan yang dibawa itu berkesan bagi melengkapkan jalan cerita," katanya.

Sementara itu bercerita mengenai perkembangan kerjayanya, wanita yang pernah mendirikan rumah tangga itu berkata dia bersyukur kerana terus diberi kepercayaan untuk berlakon.

"Alhamdulillah tawaran berlakon tak putus-putus. Terima kasih kepada penerbit yang sentiasa percaya kepada bakat lakonan saya," katanya yang baharu selesai menjalani pengambaran drama Isteri-isteri Ayah yang dijangka disiarkan di TV3 pada Mac depan.

Tambah Wan Sharmila lagi, dia kini sedang sibuk di set pengambaran drama bersiri komedi romantik berjudul Mr Hijab yang turut dibintangi Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda.

Wan Sharmila

Artikel Sebelum

Artikel Lain