suria

Reen Rahim Lebih Tenang Tidak Lagi Diugut

Reen Rahim juga menyatakan bahawa dia sudah memaafkan tindakan wanita berkenaan dan berharap isu tersebut tidak terus diperbesarkan. - Foto AIMAN ARIFUDDIN/The Star

KUALA LUMPUR: Selepas dua minggu laporan polis dibuat berhubung dakwaan diugut seorang wanita untuk menyebarkan gambar peribadi, pelakon Reen Rahim mengakui hidupnya kini lebih tenang tanpa sebarang tekanan.

Menurut aktres berusia 29 tahun itu, wanita berkenaan juga sudah berhenti daripada terus mengganggu dia dan keluarganya.

"Saya tak pasti perkembangan siasatan, tapi sejak saya buat laporan polis, dia sudah tak ganggu, tak ada ugutan dan tak sindir saya dan keluarga lagi dalam Facebook," katanya kepada mStar Online.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim ditemui pada majlis pengenalan program Perang Bibir untuk siaran TV9 pada Selasa.

Pada 6 Februari lalu, Reen membuat laporan polis di Balai Polis Damansara terhadap seorang wanita yang sebelum ini bertindak sebagai pengurus kelab peminatnya.

Reen menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya kepada media.

Menurut Reen, wanita yang sebelum ini berkawan rapat dengannya sejak 2015 itu mula menunjukkan sikap tidak baik selepas setahun perkenalan.

"Dia banyak bantu uruskan kelab peminat, bantu naikkan nama saya. Saya terlalu percayakan dia dan sangat baik seperti seorang kakak.

"Saya tak terfikir dia akan tikam saya dari berlakang, tak sangka dia ambil kesempatan atas kepercayaan saya," katanya.

Ditanya mengenai gambar dan video yang digunakan wanita berkenaan sebagai bahan ugutan, Reen bagaimanapun menafikan ia berunsur lucah.

Reen bakal muncul menerusi program Perang Bibir di TV3.

"Sebenarnya saya pun tak tahu gambar apa, tapi katanya ia daripada telefon saya.

"Sudah pasti saya ada simpan gambar perangai sendiri yang bukan untuk dikongsikan, mungkin gambar lepas mandi atau apa-apa yang tidak sepatutnya disebarkan," katanya sambil mengakui wanita berkenaan sebelum ini mempunyai akses penuh terhadap telefon bimbitnya.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Reen turut menafikan dia bertindak secara tidak profesional apabila gagal menghormati majlis tayangan filem Soulmate Hingga Jannah yang diadakan di e@Curve pada 7 Februari lalu.

Reen yang turut berlakon dalam filem arahan Prof Datuk A Razak Mohaideen itu didakwa menggunakan majlis berkenaan sebagai platfom untuknya memperbesarnya isu peribadi.

"Saya sudah maklumkan lebih awal kepada pengarah dan penganjur. Saya nyatakan akan hadir namun terpaksa pulang lebih awal kerana ada urusan peribadi," katanya.

Reen Rahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain