PETALING JAYA: Susulan kritikan pedas penonton berhubung intelek atau tahap berfikir peserta program realiti Clever Girl Malaysia musim lalu, tenaga produksi rancangan pencarian gadis pintar itu mengakui kini lebih berhati-hati pada musia kedua. Penerbit Clever Girl Malaysia Musim Ke-2, Shazreena Mohd Kassim berkata, bakal peserta rancangan itu akan melalui proses uji bakat yang lebih ketat bagi memastikan hanya mereka yang layak dapat mewakili negeri masing-masing. "Tenaga produk ambil pengajaran daripada kritikan teruk penonton pada musim lalu. Shazreena memberi jaminan Clever Girl Malaysia musim kedua akan lebih menarik dan berkualiti. "Oleh itu tapisan lebih ketat perlu dilakukan dalam mencari peserta yang mempunyai tahap IQ tinggi dan memenuhi standard," katanya kepada mStar Online. Shazreena ditemui pada majlis pengumuman Clever Girl Malaysia Musim Ke-2 di Sri Pentas pada Jumaat. Tambah Shazreena, Clever Girl Malaysia musim baharu yang bakal menemui penonton secara langsung pada Ogos depan tetap mengekal format pertandingan yang sama di mana peserta dinilai berdasarkan personaliti dan kuiz mingguan. "Bagaimanapun pastinya kita akan lakukan sedikit penambahbaikan dari segi mekanisme perlaksanaan termasuk pemilihan soalan agar memenuhi standard. "Dulu orang kata kita beri soalan tingkatan lima, jadi kali ini pihak produksi akan peka dengan isu-isu seperti itu," katanya. Clever Girl Malaysia musim baharu mengekalkan Alif Satar sebagai hos. Sementara itu juara Clever Girl musim lalu, Fatin Nuraisya Mohd Hanipha bakal membuat penampilan istimewa pada sesi boot camp selepas 28 peserta telah disenaraipendekkan. Turut sama dijemput bagi memberi motivasi dan panduan kepada peserta baharu Clever Girl Malaysia musim ini ialah bekas peserta, Sarah Adibah Mohammed Yussof. Peringkat pertama uji bakat akan berlangsung di enam lokasi seluruh negara bermula 1 April hingga 7 Mei depan.