PETALING JAYA: Telahan netizen kononnya pelakon Scha Alyahya kini sedang hamil anak kedua berdasarkan gambar yang dimuat naik suaminya yang juga pengacara, Awal Ashaari ternyata meleset. Menurut Awal, dia mengakui gambar berkenaan menampakkan bahagian perut isterinya sedikit berisi seakaan sedang hamil. "Saya sendiri pada mulanya tak sedar, tapi selepas melihat ramai yang komen di Instagram ucap tahniah kononnya Scha hamil, baru saya perasan keadaan pada gambar itu. "Scha pun ada tegur, tapi saya biarkan sahaja dan ambil keputusan tak perlu padam gambar berkenaan. Tapi ingin saya jelaskan di sini bahawa Scha belum hamil," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Awal dan Scha sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menambah cahaya mata. Awal, 36, mengulas mengenai ucapan tahniah pengikut di laman Instagram kononnya anak pertama mereka, Lara Alana bakal mendapat adik. Jelas Awal baju yang dipakai Scha dari kain velvet yang tebal dan berat memberi ilusi seperti yang diperkatakan pengikutnya di Instagram. "Walau apa pun saya ucapkan terima kasih di atas doa dan ingatan semua. Memang kami merancang untuk tambah anak pada tahun ini, tapi hingga kini belum ada rezeki," katanya. Sementara itu diminta mengulas mengenai pencalonan Lara Alana, 3, dalam anugerah MeleTOP Era 2017 bagi kategori Si Cilik MeleTOP, Awal berkata dia bersyukur apabila anaknya turut diberi peluang memeriahkan program berkenaan. "Ini baru pencalonan awal, semuanya terpulang kepada orang ramai untuk memilih anak selebriti mana yang mereka suka. "Sebagai bapa saya akan terus berkongsi aktiviti harian Lara di Instagram seperti biasa. Tak kisah siapa menang, anggap sahaja untuk suka-suka," katanya.