suria

Hairul Azreen Tak Halang Anak Jadi Artis

Hairul bersama isteri dan anaknya.

PETALING JAYA: Pelakon Hairul Azreen tidak akan menghalang jika anaknya iaitu Yusuf Iskandar memilih untuk terlibat dalam dunia seni suatu hari nanti.

Hairul, 28, berkata, masih terlalu awal untuk menentukan minat anak lelakinya itu walaupun dia mendapat perhatian luar biasa daripada pengikut di laman sosial meskipun baharu berusia lapan bulan.

"Bapa saya tidak pernah menghalang saya untuk buat apa sahaja kerja yang saya suka kerana apa yang penting saya lakukan itu rezeki halal.

"Jadi saya juga tidak mahu menghalang apa juga Yusuf pilih apabila dia dewasa nanti dan kalau dia mahu berada dalam bidang seni saya akan beri sokongan," ujarnya kepada mStar Online.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris ditemui pada majlis malam gala filem lakonannya Pak Pong baru-baru ini.

Hairul Azreen.

Pelakon drama Dia Semanis Honey ini berkahwin dengan aktres Hanis Zalikha pada 5 Jun 2015 di Bukit Jelutong, dekat sini.

Dia juga bersyukur anaknya dicalonkan dalam kategori Si Cilik Meletop, Anugerah MeleTOP Era (AME) 2017 yang bakal berlangsung pada 23 April depan.

"Alhamdulillah, rezeki dia murah, selama ini saya yang berusaha untuk dicalonkan dalam kategori pelakon tetapi dia pula yang dipilih dalam anugerah itu.

"Saya terkejut kerana baharu diberitahu tentang pencalonan itu walaupun saya rasa dia masih kecil untuk bertanding tapi saya anggap itu sebagai rezeki Yusuf," ujarnya.

Akaun laman sosial Instagram anaknya iaitu @theyusufiskandar kini mempunyai seramai 1 juta pengikut.

Dalam pada itu, ditanya perancangan untuk menambah bilangan cahaya mata, Hairul berkata, dia masih belum memikirkan perkara tersebut.

Dia juga mahu memberi perhatian kepada pembesaran Yusuf terlebih dahulu.

"Saya dan Haniz belum merancang untuk tambah anak lagi buat masa ini biarlah kami besarkan Yusuf dahulu.

"Saya juga ada beberapa perancangan lain tahun ini," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ary Malik Masih Tidak Sedar

Artikel Lain