suria

Ary Malik Bergantung Kepada Alat Bantuan Pernafasan

Ary Malik
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Ary Malik ketika ini masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan namun keadaannya diklasifikasikan sebagai kritikal.

Ketika berita ini ditulis pada kira-kira pukul 6.30 petang, sahabatnya yang juga artis Sharifah Shahira memaklumkan, pihak keluarga memberitahunya denyutan jantung aktres itu berada dalam keadaan stabil.

"Denyutan jantung dia stabil tetapi dia masih lagi pakai alat bantuan pernafasan. Semua ahli keluarga ada bersamanya ketika ini," katanya kepada mStar Online.

Pihak media bagaimanapun tidak dibenarkan melawat Ary Malik yang kini dirawat di Hospital Ampang.
Sharifah Shahira ditemui di sini pada Selasa selepas melawat Ary Malik yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang akibat kanser ovari tahap empat.

Bagaimanapun usaha mStar Online untuk menziarahi pengacara itu gagal selepas dihalang oleh pihak pengawal keselamatan hospital dengan alasan keluarga tidak membenarkan liputan media buat sementara waktu.

Ary Malik ketika menyertai MasterChef Selebiti Malaysia pada tahun 2012.

Sharifah Shahira berkata, adik Ary iaitu penyanyi Min Malik kesal dengan penyebaran berita kononnya kakak dia sudah meninggal dunia sepertimana menjadi tular di laman sosial.

Dalam pada itu pengurus kepada artis itu yang mahu dikenali sebagai Sam pula meminta semua pihak khususnya peminat agar mendoakan kesejahteraan Ary.

Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik, 46, dimasukkan ke Hospital Ampang pada 18 Februari lalu apabila keadaannya semakin lemah kesan daripada penyakit bkanser dihidapinya.

Beliau sebelum itu menjalani rawatan perubatan dan kimoterapi di Hospital Tuanku Mizan, Wangsa Maju bermula Mei tahun lalu.

Selain menjadi pengacara, Ary juga pernah menyertai rancangan realiti iaitu MasterChef Selebriti Malaysia terbitan Astro pada tahun 2012 dan layak sehingga ke peringkat akhir.

Hasil perkahwinannya dengan Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Shahrul Bromo, mereka memiliki tiga orang anak iaitu, Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik yang berusia 11 tahun. 

Ary Malik

Artikel Lain