SUBANG JAYA: Penyanyi Khai Bahar berkongsi tiga hajatnya di majlis kejutan sempena ulang tahun kelahiran ke-23 yang diraikan bersama lebih 50 peminat di Neway Karaoke Box, di sini pada Isnin. Khai, 23, yang pernah popular menerusi aplikasi karaoke atas talian Smule antara lainnya menyebut dia berhajat untuk berkolaborasi dengan penyanyi bersuara lantang Ziana Zain menerusi projek single akan datang. "Selain ingin menghantar kedua ibu-bapa saya mengerjakan umrah pada tahun ini, saya turut berharap impian untuk berkolaborasi bersama kak Ziana Zain akan terlaksana menerusi projek single akan datang. "Selebihnya, saya berharap dengan anjakan usia yang ke 23 tahun ini, rezeki saya bertambah murah, lebih berjaya dan dipermudahkan segala urusan," katanya kepada mStar Online. Peminat meraikan sambutan ulang tahun ke 23, Khai Bahar. Foto Instagram @khaibahar Majlis yang bertema Sweet & Funky itu diraikan oleh teman-teman rapat Khai Bahar selain lebih 50 orang peminat tegar yang datang dari Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Johor dan Singapura. Turut kelihatan pada majlis itu ialah penyanyi Aishah Bujang. Tambah pemilik nama Muhamad Khairul Baharudin ini lagi, dia amat meminati penyanyi Ziana Zain kerana artis itu mempunyai vokal bernada tinggi selain lagu-lagunya yang sedap di dengar. "Banyak lagu kak Ziana yang sedap dan beberapa daripadanya pernah saya nyanyikan dalam versi cover antaranya Madah Berhelah dan Putus Terpaksa.” Katanya. Di majlis yang berlangsung selama tiga jam bermula jam 10 malam itu, Khai menghiburkan peminat-peminatnya dengan rangkaian lagu antaranya Gemilang (Jaclyn Victor), All I Ask (Adele), She's Gone (Steel Heart) dan Korban Cinta (Ziana Zain). Lebih tersentuh, penyanyi lagu Bayang ini dilihat turut menitiskan air mata terharu atas kejutan majlis yang dibuat khas untuknya itu. Selain membuat persembahan, turut diadakan sesi nyanyian karaoke, memotong kek dan swafoto bersama peminat.